+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
1) Adakah perolehan secara pelantikan terus menjadi satu kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010?
Perolehan secara pelantikan terus adalah tidak menjadi satu pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010 kerana prosedur ini adalah mengikut pekeliling dan arahan yang telah ditetapkan oleh Perbendaharaan.
2) Jika bayaran penalti tidak dibayar oleh pesalah, apakah tindakan yang akan dibuat oleh MyCC?
MyCC akan mendapatkan arahan dari Mahkamah Tinggi bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pesalah yang enggan membayar penalti yang telah diputuskan oleh MyCC.
3) Adakah MyCC akan mengambil tindakan bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Badan-badan Kerajaan sekiranya melanggar Akta Persaingan 2010.
Bagi perkara-perkara yang melibatkan Kerajaan, seperti yang termaktub di bawah seksyen 3(4) menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti yang melibatkan arahan daripada pihak Kerajaan secara langsung atau tidak langsung tidak terpakai di dalam Akta Persaingan 2010.
4) Bagaimanakah pengurusan pembayaran penalti yang diterima oleh MyCC diuruskan? Adakah akan disalurkan penalti tersebut kepada Kerajaan atau di bawah pengurusan MyCC?
Bayaran penalti yang diterima oleh MyCC akan diuruskan oleh MyCC mengikut prosedur kewangan MyCC dan tidak disalurkan kepada Kerajaan. Di bawah Akta Persaingan 2010, MyCC yang merupakan agensi Kerajaan mempunyai kuasa untuk menguruskan sendiri wang penalti yang diterima.
5) Apakah motivasi yang boleh diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan untuk tampil membantu MyCC membuat laporan jika terdapat kesalahan tipuan bida.
Sepertimana kita sedia maklum, pegawai Kerajaan mempunyai tanggungjawab dan amanah dalam menjalankan kerja demi kesejahteraan rakyat dan negara. Pada pendapat saya, isu berkaitan dengan ‘insentif’ kepada pengadu tidak sepatutnya menjadi satu isu bagi pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Walau bagaimanapun, Seksyen 41 di bawah Akta Persaingan 2010 membenarkan MyCC memberi penurunan penalti sehingga 100% bagi apa-apa penalti yang dikenakan kepada pesalah yang melanggar Akta ini. Regim kelonggaran boleh digunakan bagi mana-mana syarikat yang mengakui terlibat dalam suatu aktiviti pelanggaran di bawh Akta Persaingan 2010 dan tampil memberi maklumat yang secukupnya kepada MyCC.

6) Adakah peranan MyCC sama seperti Jabatan Audit Negara? Adakah MyCC mempunyai peranan atau kuasa untuk menyemak sistem dan dokumen perolehan di setiap agensi Kerajaan di Malaysia?
Peranan MyCC adalah tidak sama seperti Jabatan Audit Negara di mana MyCC hanya menjalankan fungsi dan kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Persaingan 2010. MyCC mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas perusahaan yang terlibat dengan aktiviti anti-persaingan. Sesuatu siasatan boleh dimulakan dengan tiga kaedah iaitu:
  1. Arahan oleh Menteri;
  2. Inisiatif MyCC; dan
  3. Aduan kepada MyCC.
7) Adakah MyCC menyediakan apa-apa pelindungan kepada pegawai yang membuat aduan?
Tidak. Walau bagaimanapun MyCC akan berusaha sedaya upaya untuk tidak menyebarkan identiti pegawai tersebut. Terdapat kaedah yang lain di mana pengadu boleh mengemukakan aduan tanpa mendedahkan identiti mereka tetapi maklumat aduan perlulah diberikan selengkap yang mampu bagi membantu pihak MyCC menjalankan siasatan.
8) Berapa lamakah tempoh masa yang akan diambil oleh MyCC untuk menjalankan sesuatu siasatan?
MyCC tidak menetapkan tempoh masa dalam menjalankan sesuatu siasatan. Setiap kes siasatan adalah berbeza di mana terdapat sesetengah kes siasatan memerlukan masa yang lebih lama dalam menjalankan analisis dan mendapatkan maklumat terperinci.

Contohnya, dalam kes tiub ais yang telah diselesaikan oleh MyCC baru-baru ini yang melibatkan 25 pengeluar ais di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. MyCC hanya mengambil masa dalam tempoh 2-3 bulan untuk menjalankan dan menyelesaikan siasatan. Manakala bagi kes MAS dan Air Asia pula, kes tersebut telah mengambil masa selama 2 tahun kerana ia melibatkan banyak aspek teknikal yang perlu diberi perhatian oleh pihak MyCC.