+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
Q: Di bawah Akta Persaingan 2010, adakah kakitangan kerajaan terlibat dalam penguatkuasaan Undang-undang Persaingan?
A:

Penguatkuasaan Akta Persaingan akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebaik sahaja undang-undang dikuatkuasakan pada Januari 2012.

Q: Adakah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga tertakluk kepada undang-undang ini?
A:

Semua entiti yang terlibat dalam aktiviti perdagangan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah tertakluk kepada undang-undang ini. Aktiviti perdagangan ditakrifkan dalam seksyen 3 (4) AP. Walau bagaimanapun, syarikat berkaitan kerajaan boleh memohon untuk pengecualian individu daripada AP sekiranya ia memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam seksyen 5 AP. 

Q: Adakah Akta Persaingan memperuntukkan sebarang kelonggaran?
A:

Seksyen 41 AP memperuntukkan rejim kelonggaran dengan pengurangan sehingga maksimum 100% apa-apa penalti yang akan dikenakan jika tanpa kelonggaran. Pada dasarnya, program kelonggaran ini adalah bertujuan untuk menggalakkan mereka yang terlibat dalam amalan kartel untuk memberikan maklumat melalui bekerjasama dengan Suruhanjaya dalam mengenal pasti pelanggaran.

Q: Bagi mereka yang pada masa ini terlibat dalam amalan kartel, adakah apa-apa pemenjaraan diperuntukkan di bawah Akta Persaingan 2010?
A:

Akta Persaingan 2010 tidak memperuntukkan apa-apa pemenjaraan bagi amalan kartel, tidak seperti Anti Amanah AS (US Anti trust), sebagai contoh.

Q: Bagaimana anda menangani isu-isu seperti caj elektrik atau internet, terutamanya jika pemain-pemain utama menyalahgunakan kedudukan dominan mereka?
A:

Caj elektrik, yang ditetapkan oleh TNB, adalah di bawah skop Suruhanjaya Tenaga; manakala internet adalah di bawah skop Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Kedua-dua sektor ini dikecualikan daripada pemakaian AP. Walau bagaimanapun, satu Komiti Khas yang terdiri daripada semua pengawal atur sektor akan ditubuhkan untuk membincangkan hal-hal persaingan. Jika tiada tindakan diambil ke atas aduan yang dikemukakan kepada pengawal atur sektor, maka isu-isu sedemikian akan dibincangkan oleh Komiti Khas tersebut.

Q: Jika aktiviti penetapan harga disedari, ke manakah aduan boleh dikemukakan dan kepada siapa?
A:

Aduan berkenaan kartel atau penyalahgunaan kedudukan dominan boleh dikemukakan kepada MyCC dengan memberikan maklumat yang lengkap dan menyeluruh tentang pelanggaran tersebut.

Q: Apakah sebabnya kuantum bahagian pasaran tidak ditetapkan apabila memutuskan ‘dominans’ kerana ia akan menyukarkan pihak Suruhanjaya untuk membuktikan kes?
A:

Sebab kuantum bahagian pasaran tidak ditetapkan adalah untuk menyediakan satu rejim undang-undang persaingan yang fleksibel. Pendekatan ini juga adalah selari dengan kuasa-kuasa membangun yang lain seperti EU dan UK. Bahagian pasaran yang dimiliki ialah satu daripada faktor yang menentukan dominans tetapi bukanlah faktor tunggal. Hakikat bahawa bahagian pasaran mana-mana perusahaan adalah lebih atau kurang daripada tahap tertentu tidak boleh dianggap sebagai konklusif sama ada sesebuah perusahaan itu menduduki atau tidak menduduki kedudukan dominan di pasaran tersebut. Faktor tambahan lain yang menunjukkan dominans seperti halangan kepada kemasukan dan kuasa pembeli mestilah diambil kira.

Namun begitu, garis panduan mengenai penyalahgunaan dominans selalunya akan menunjukkan takat ambang bahagian pasaran untuk syarikat yang diandaikan memegang kedudukan dominan.

Q: Adakah Suruhanjaya akan mempertimbangkan untuk memecah monopoli pemegang hak Harta Intelek dan mengeluarkan Garis Panduan tentang bagaimana pemegang hak-hak ini sepatutnya bertingkah laku selari dengan undang-undang baharu tersebut?
A:

Menjadi monopoli bukanlah satu kesalahan dan Akta hanya akan digunakan apabila sesebuah syarikat yang berada dalam kedudukan monopolistik iaitu kedudukan dominan, menyalahgunakan kedudukan ini dengan cara mengenakan harga atau syarat-syarat perniagaan yang tidak adil dll. Undang-undang persaingan adalah agak baharu kepada dan di Malaysia. Merumuskan garis panduan selanjutnya ke atas ruang hubung kait antara persaingan dan dasar harta intelek akan menjadi matlamat jangka panjang Suruhanjaya.

Q: Adakah aktiviti usaha sama juga diliputi oleh Akta ini?
A:

Apa-apa aktiviti yang bersifat perdagangan diliputi di bawah AP kecuali ia secara nyata tidak dimasukkan atau dikecualikan oleh Suruhanjaya dengan syarat bahawa ia memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam seksyen 5 Akta itu.

Q: Bagaimana peruntukan “pemberi maklumat” dalam Akta Persaingan ini berfungsi?
A:

Rejim kelonggaran di bawah seksyen 41 AP memperuntukkan bahawa perusahaan yang terlibat dalam aktiviti kartel pengurangan sehingga maksimum 100% apa-apa penalti yang akan dikenakan jika tanpa kelonggaran sekiranya perusahaan itu mengakui penglibatan dan bekerjasama dengan MyCC dalam siasatannya terhadap pelanggaran tersebut.

Q: Apakah rasional di sebalik peruntukan hak untuk tindakan persendirian yang membenarkan tindakan selari?
A:

Seksyen 64 AP memberikan hak kepada mana-mana orang yang mengalami kerugian atau kerosakan langsung sebagai akibat pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Bahagian II (seksyen 4 dan 10) hak untuk bertindak menuntut kelegaan (action of relief) dalam tindakan undang-undang sivil di mahkamah. Hak untuk tindakan persendirian akan meningkatkan kebarangkalian tingkah laku anti persaingan dikesan dan dengan itu, bertindak sebagai insentif untuk perniagaan mematuhi undang-undang. Oleh itu, risiko pengembalian berganda diatasi oleh kepentingan awam dalam memastikan yang tingkah laku anti persaingan dicegah dan sesiapa yang mengalami kerugian disebabkan olehnya dibayar pampasan secukupnya.

Selain itu, Suruhanjaya akan mempunyai, sebagai keutamaan strategik, kes-kes yang mana ia tidak mahu meneruskan, disebabkan kes-kes ini mungkin tidak mempunyai kesan yang ketara kepada pasaran. Oleh itu seseorang individu yang berpendapat bahawa tiada tindakan diambil oleh Suruhanjaya, boleh meneruskan kes beliau di mahkamah sebagai tindakan persendirian.

Q: Bagaimanakah Suruhanjaya Persaingan menangani tipuan bida atau tender di agensi-agensi kerajaan? Bagaimana pula dengan rundingan langsung antara vendor dan kerajaan? Adakah undang-undang ini meliputi perkara ini?
A:

Aktiviti tipuan bida, tanpa mengambil kira siapa yang membida untuk tender, adalah dilarang di bawah AP. Seksyen 4 AP menyifatkan tipuan bida sebagai satu perjanjian yang matlamatnya ialah membataskan persaingan. Apabila beberapa orang berpakat bersama-sama untuk menggagalkan usaha tender dan bersetuju untuk menetapkan atau menipu bida bagi sesebuah kontrak atau projek, ia adalah melanggar undang-undang.

AP tidak secara khususnya menguruskan isu-isu rundingan langsung. Walau bagaimanapun, rundingan langsung dalam kebanyakan kes hanya dibenarkan sekiranya terdapat bilangan pemain yang kecil dalam pasaran atau apabila ia melibatkan hal-hal yang berkaitan kerahsiaan dan keselamatan yang sangat tinggi.

Q: Disebabkan globalisasi, banyak syarikat telah membuka cawangan baharu di Malaysia, terutamanya dalam hal pasar raya besar asing. Bolehkah undang-undang Persaingan melindungi kepentingan peruncit tempatan; yang mungkin menghadapi cabaran daripada pemain be
A:

Undang-undang persaingan melindungi proses persaingan bukannya pesaing sama ada pemain kecil atau besar. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cara undang-undang persaingan memberi faedah kepada pemain kecil. Salah satu cara ialah melalui pengawal aturan tingkah laku pemain dominan daripada menyalahgunakan kuasa pasarannya, misalannya dengan mengenakan harga belian dan jualan dan syarat-syarat perniagaan yang tidak adil. Undang-undang ini menjamin bahawa pemain kecil juga boleh bersaing dengan pemain besar pada perlakuan dan peraturan yang sama.
Satu lagi cara ialah dengan mengecualikan perlakuan IKS daripada undang-undang persaingan, kerana secara umumnya IKS tidak menunjukkan pengaruh yang besar ke atas pasaran. Sebagai contoh, peruncit-peruncit kecil mungkin menubuhkan ‘persatuan pembelian’ supaya dapat meningkatkan kuasa membeli mereka dan seterusnya menambahkan persaingan mereka dalam pasaran tempatan.

Q: Pemain-pemain besar dalam pasaran cenderung untuk menentukan harga pembelian bahan mentah manakala pemain-pemain kecil membayar harga lebih tinggi untuk bahan yang sama. Ini menyebabkan pemain-pemain kecil berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan dan
A:

Seksyen 10 AP melarang syarikat yang dominan daripada menyalahgunakan kuasa pasarannya dengan mengenakan harga belian dan harga jualan dan juga syarat-syarat lain perniagaan yang tidak adil. Harga yang tidak adil tidak semestinya bermakna harga yang lebih tinggi tetapi boleh juga merujuk kepada harga yang lebih rendah yang ditawarkan oleh pembeli dominan (monopsoni) kepada pembekalnya. Dengan itu, undang-undang persaingan memberikan peluang kepada pemain-pemain kecil untuk bersaing dengan pemain-pemain besar pada perlakuan dan peraturan yang sama.

 

Q: Pengangkut-pengangkut nampaknya mengenakan kadar yang sama untuk pengangkutan barang. Mereka tidak mahu menurunkan harga dengan alasan yang persatuan mereka telah menetapkan kadar. Bolehkah Suruhanjaya mengambil tindakan terhadap mereka?
A:

Sebarang perjanjian dalam kalangan pengusaha pengangkutan untuk menetapkan kadar mereka sama ada secara bertulis atau lisan adalah suatu kartel dan dilarang di bawah seksyen 4 AP. Perjanjian termasuk keputusan sesebuah persatuan. Oleh itu, perlakuan persatuan pengangkut untuk menetapkan harga mereka akan menyalahi seksyen 4. Suruhanjya boleh mengambil tindakan terhadap kedua-dua pengangkut dan persatuan mereka.

Q: Apabila bank menjual produk mereka, pelanggan dipaksa membeli insurans mereka. Adakah ini menyalahi undang-undang?
A:

Senario ini dikenali sebagai membungkus atau mengikat. Tingkah laku ini boleh dilarang di bawah seksyen 4 dan seksyen 10 bergantung pada keadaan kes.

Q: Bagaimana sesebuah syarikat sendirian berhad memohon untuk pengecualian di bawah Akta Persaingan 2010 dan bilakah ia boleh berbuat demikian?
A:

Sesebuah syarikat sendirian berhad yang terbabit dalam suatu perjanjian boleh memohon untuk pengecualian individu daripada Suruhanjaya. Pengecualian individu boleh diberi sekiranya pihak tersebut boleh membuktikan bahawa kriteria di bawah seksyen 5 Akta dipenuhi, salah satunya ialah jika terdapat faedah kecekapan yang signifikan terhasil daripada penguatkuasaan sesuatu perjanjian. Daripada memohon pengecualian individu, sesebuah syarikat juga boleh menjalankan penilaian kendiri sama ada perjanjian yang dimeterai itu memenuhi kriteria di bawah seksyen 5. Syarikat itu kemudiannya boleh meneruskan dengan perjanjian itu dan menggunakannya sebagai pembelaan jika tindakan di ambil terhadap syarikat. MyCC masih dalam proses merumuskan garis panduan yang mengandungi proses dan prosedur yang jelas dan terperinci dan prosedur untuk pengecualian individu.

Q: Adakah Kerajaan akan menghapuskan Akta Kawalan Harga 1946 dengan pengenalan Akta Persaingan 2010?
A:

Buat masa sekarang, Kerajaan tidak merancang untuk menghapuskan Akta Kawalan Harga 1946. Kawalan harga diperlukan untuk memastikan yang harga barang-barang keperluan seperti gula, tepung dan minyak masak sentiasa berada pada tahap yang munasabah dan mampu milik. Kawalan harga juga penting untuk menghalang pencatutan terutamanya pada barang bukan kawalan seperti makanan dan minuman dalam kalangan peniaga.

Q: Apakah fungsi Suruhanjaya Persaingan dalam melindungi kepentingan pengguna?
A:

Fungsi utama Suruhanjaya Persaingan ialah menguatkuasakan Akta Persaingan 2010. Akta itu mengandungi beberapa larangan untuk memastikan terdapat persaingan sihat dalam pasaran tempatan seperti melarang kartel dan penyalahgunaan kuasa pasaran. Dengan mengawal atur tingkah laku ini dan memastikan persaingan sihat dalam pasaran, pengguna secara tidak langsung boleh menikmati faedah-faedah dalam bentuk harga yang lebih rendah dan pilihan produk berkualiti yang lebih luas.

Q: Adakah Akta ini terpakai kepada Kerajaan?
A:

Kerajaan juga tertakluk kepada undang-undang tersebut jika ia terlibat dalam aktiviti yang bersifat perdagangan.

Q: Di bawah Akta Persaingan 2010, bolehkan persatuan perniagaan menikmati “penetapan harga” barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh ahli persatuan mereka?
A:

Perjanjian antara pesaing untuk menetapkan harga adalah dilarang di bawah seksyen 4 AP. Seksyen 2 AP mentakrifkan ‘perjanjian’ untuk termasuk keputusan-keputusan yang dibuat oleh mana-mana persatuan.

Q: Jika bayaran penalti tidak dibayar oleh pesalah, apakah tindakan yang akan dibuat oleh MyCC?
A:

MyCC akan mendapatkan arahan dari Mahkamah Tinggi bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pesalah yang enggan membayar penalti yang telah diputuskan oleh MyCC.

Q: Bagaimanakah pengurusan pembayaran penalti yang diterima oleh MyCC diuruskan? Adakah akan disalurkan penalti tersebut kepada Kerajaan atau di bawah pengurusan MyCC?
A:

Bayaran penalti yang diterima oleh MyCC akan diuruskan oleh MyCC mengikut prosedur kewangan MyCC dan tidak disalurkan kepada Kerajaan. Di bawah Akta Persaingan 2010, MyCC yang merupakan agensi Kerajaan mempunyai kuasa untuk menguruskan sendiri wang penalti yang diterima.

Q: Adakah MyCC akan mengambil tindakan bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Badan-badan Kerajaan sekiranya melanggar Akta Persaingan 2010.
A:

Bagi perkara-perkara yang melibatkan Kerajaan, seperti yang termaktub di bawah seksyen 3(4) menyatakan bahawa aktiviti-aktiviti yang melibatkan arahan daripada pihak Kerajaan secara langsung atau tidak langsung tidak terpakai di dalam Akta Persaingan 2010.

Q: Apakah motivasi yang boleh diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan untuk tampil membantu MyCC membuat laporan jika terdapat kesalahan tipuan bida.
A:

Sepertimana kita sedia maklum, pegawai Kerajaan mempunyai tanggungjawab dan amanah dalam menjalankan kerja demi kesejahteraan rakyat dan negara.  Pada pendapat saya, isu berkaitan dengan ‘insentif’ kepada pengadu tidak sepatutnya menjadi satu isu bagi pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Walau bagaimanapun, Seksyen 41 di bawah Akta Persaingan 2010 membenarkan MyCC memberi penurunan penalti sehingga 100% bagi apa-apa penalti yang dikenakan kepada pesalah yang melanggar Akta ini. Regim kelonggaran boleh digunakan bagi mana-mana syarikat yang mengakui terlibat dalam suatu aktiviti pelanggaran di bawh Akta Persaingan 2010 dan tampil memberi maklumat yang secukupnya kepada MyCC.

Q: Adakah peranan MyCC sama seperti Jabatan Audit Negara? Adakah MyCC mempunyai peranan atau kuasa untuk menyemak sistem dan dokumen perolehan di setiap agensi Kerajaan di Malaysia?
A:

Peranan MyCC adalah tidak sama seperti Jabatan Audit Negara di mana MyCC hanya menjalankan fungsi dan kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Persaingan 2010. MyCC mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas perusahaan yang terlibat dengan aktiviti anti-persaingan. Sesuatu siasatan boleh dimulakan dengan tiga kaedah iaitu:

  1. Arahan oleh Menteri;
  2. Inisiatif MyCC; dan
  3. Aduan kepada MyCC.
Q: Adakah MyCC menyediakan apa-apa pelindungan kepada pegawai yang membuat aduan?
A:

Tidak. Walau bagaimanapun MyCC akan berusaha sedaya upaya untuk tidak menyebarkan identiti pegawai tersebut. Terdapat kaedah yang lain di mana pengadu boleh mengemukakan aduan tanpa mendedahkan identiti mereka tetapi maklumat aduan perlulah diberikan selengkap yang mampu bagi membantu pihak MyCC menjalankan siasatan.

Q: Berapa lamakah tempoh masa yang akan diambil oleh MyCC untuk menjalankan sesuatu siasatan?
A:

MyCC tidak menetapkan tempoh masa dalam menjalankan sesuatu siasatan. Setiap kes siasatan adalah berbeza di mana terdapat sesetengah kes siasatan memerlukan masa yang lebih lama dalam menjalankan analisis dan mendapatkan maklumat terperinci.

Contohnya, dalam kes tiub ais yang telah diselesaikan oleh MyCC baru-baru ini yang melibatkan 25 pengeluar ais di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. MyCC hanya mengambil masa dalam tempoh 2-3 bulan untuk menjalankan dan menyelesaikan siasatan.  Manakala bagi kes MAS dan Air Asia pula, kes tersebut telah mengambil masa selama 2 tahun kerana ia melibatkan banyak aspek teknikal yang perlu diberi perhatian oleh pihak MyCC.

Q: Adakah perolehan secara pelantikan terus menjadi satu kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010?
A:

Perolehan secara pelantikan terus adalah tidak menjadi satu pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010 kerana prosedur ini adalah mengikut pekeliling dan arahan yang telah ditetapkan oleh Perbendaharaan.