+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
Date: 
Monday, June 23, 2014

TAN SRI DATO’ SRI SITI NORMA YAAKOB
PENGERUSI SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA (MyCC)
 
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN GARIS PANDUAN MENENTANG TIPUAN BIDA DALAM PEROLEHAN AWAM DAN
BUKU “HELP US DETECT BID-RIGGING.”
 
23 JUN 2014 (ISNIN)
HALL 2, PUSAT KONVENSYEN PUTRAJAYA (PICC)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Ahmad Bashah Bin Md Hanipah;
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Yang Berbahagia Dato’ Azmi bin Lateh;
Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Y.Bhg. Dato’ Zaidon bin Hj Asmuni;
Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Wakil-wakil daripada Kementerian Kewangan, SPRM, Jabatan Audit Negara, dan Institut Penyelidikan Khazanah

Yang Berusaha Puan Shila Dorai Raj
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC

Ketua-Ketua Agensi KPDNKK
Ketua-Ketua Bahagian KPDNKK
 
Dato-dato, Tuan, Puan, Dif-dif Kehormat
 
Wakil-wakil Media
 
Dan Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan berkat dan limpah kurnia-Nya dapatlah kita bersama-sama berkumpul pada tengah hari ini bagi sama-sama menyaksikan Majlis Pelancaran Garis Panduan Menentang Tipuan Bida dalam Perolehan Awam dan buku “Help Us Detect Bid-Rigging.”

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Ahmad Bashah Bin Md Hanipah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kerana sudi meluangkan masa bersama kita pada tengah hari ini untuk menyempurnakan majlis pelancaran buku-buku ini. Yang  Berhormat Timbalan Menteri mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Yang Berhormat Dato’ Sri Hasan Malek, yang tidak dapat hadir hari ini.

Saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi hadir ke majlis ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah sebagai tanda sokongan dan jalinan kerjasama erat terhadap MyCC dalam menjayakan pelaksanaan Akta Persaingan 2010 ini yang saya sesungguhnya yakin akan merupakan pemangkin kepada kejayaan ekonomi negara.

I would also like to welcome our speakers: Mr. Antonio Capobianco, Senior Competition Law Expert from the Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD), Mr. Hong-Geun Kim, Deputy Director, Cartel Investigation Division, Korea Fair Trade Commission (KFTC), and Mr. Ahmad Junaidi, Director for Legal Proceeding, Commission for the Supervision of Business Competition (KPPU), Indonesia, all of whom have journeyed quite a distance to attend and support this workshop. It is truly a pleasure to have you here and we indeed appreciate your support.

Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian

Sebagai Pengerusi MyCC, saya berbesar hati dapat menganjurkan majlis pelancaran buku-buku ini dan juga bengkel yang bertemakan tipuan bida. Bengkel ini yang telah bermula sejak pagi tadi merupakan susulan daripada bengkel yang dianjurkan MyCC bersama OECD pada bulan Jun tahun lepas, bertajuk “Workshop on Fighting Bid Rigging: A Competition Authority Perspective”.

Saya berharap penglibatan badan-badan perolehan dalam bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh MyCC seperti ini bukan sahaja menjadi platform meningkatkan pengetahuan tentang isu tipuan bida tetapi juga permulaan kerjasama yang erat dengan agensi-agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Jabatan Audit Negara Malaysia (JAN) untuk memantau isu tipuan bida di peringkat kebangsaan.

Oleh itu, semenjak bengkel tipuan bida tahun lepas, MyCC telah membuat usaha berterusan untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan badan-badan Kerajaan tersebut untuk bertukar pandangan dan mencapai persefahaman mengenai pencegahan tipuan bida didalam proses perolehan.

Bagi pihak MyCC, saya amat berterima kasih kepada SPRM, MOF, JAN dan Institut Penyelidikan Khazanah yang sudi menyertai kumpulan perbincangan kami hari ini. Sokongan berterusan amat diperlukan untuk mencapai aras yang lebih tinggi lagi dalam usahasama mempertingkatkan kesedaran dan kepakaran dalam isu membanteras tipuan bida di peringkat negara.

Para hadirin sekalian,

Garis panduan adalah amat perlu sebagai rujukan dalam menangani isu tipuan bida secara efektif. Kami amat bernasib baik pihak OECD telah mengambil inisiatif terdahulu untuk menerbitkan garis panduan berkenaan. Disamping itu, pihak OECD turut memberi bantuan kepada MyCC untuk menterjemah garis panduan tersebut ke Bahasa Malaysia.

Oleh demikian saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi setinggi ucapan terima kasih kepada OECD untuk segala bantuan mereka. I would also like to especially thank Mr Antonio Capobianco, who has kindly lent his assistance with regards to the translation of the OECD publication on bid rigging by the MyCC into Bahasa Malaysia.

Para hadirin sekalian,
Sepertimana pernah disebut sebelum ini, tipuan bida secara lazimnya membawa kepada harga tender yang berlebihan dan seterusnya menjejaskan perolehan awam. Seperti yang dinyatakan didalam garis panduan OECD, tingkah laku sebegini menyedut sumber daripada pembeli dan pembayar cukai dan seterusnya merugikan  masyarakat. Ia mengurangkan keyakinan orang ramai dalam proses persaingan dan boleh menjejaskan faedah pasaran yang kompetitif. Organisasi swasta dan awam bergantung kepada proses pembidaan yang kompetitif untuk mencapai nilai yang terbaik. Penjimatan yang didapati daripada perolehan yang bernilai baik boleh digunakan untuk perolehan barangan dan perkhidmatan seterusnya menjuruskan kepada perkembangan ekonomi secara keseluruhan.

Ia sangat mustahak untuk orang awam sedar bahawa amalan tipuan bida merupakan kesalahan dibawah Akta Persaingan 2010 dan adalah rintangan kepada kerajaan untuk mewujudkan perolehan awam yang lebih berkesan dan persekitaran ekonomi negara yang sihat. Untuk pegawai perolehan pula, kepakaran dalam menangani isu ini harus diambil berat dan terus dipertingkatkan.

Oleh itu saya berharap pengenalan buku “Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam” dan “Help Us Detect Bid Rigging” ini boleh dijadikan rujukan untuk badan-badan perolehan untuk mengenalpasti dan seterusnya membanteras amalan tipuan bida dalam perolehan awam, dan pada masa yang sama menjadi peringatan kepada pesalah atau mana-mana petender.

Para hadirin sekalian,
Dengan adanya bahan rujukan dan juga bengkel tipuan bida seperti ini, saya amat berharap agar semua pihak yang terlibat bekerjasama secara lebih erat lagi dengan MyCC untuk membanteras amalan tipuan bida di dalam perolehan awam. Saya percaya bahawa jika MyCC dan agensi kerajaan yang lain seperti SPRM, MOF and JAN terus meningkatkan kerjasama dan persefahaman pada masa akan datang, amalan-amalan seumpama ini boleh dibanteras.

Izinkan saya untuk mencadangkan sebagai satu permulaan, salah satu tindakan awal yang boleh diambil ialah meningkatkan kesedaran pegawai-pegawai perolehan melalui rujukan dan pengedaran buku-buku panduan ini sama ada secara dalaman oleh badan-badan kerajaan mahupun pengedaran kepada sektor swasta untuk meningkatkan kesedaran secara am. Kerjasama pelbagai pihak amatlah penting untuk menjayakan inisiatif ini.

Para hadirin sekalian,

Akhir kata saya berharap peserta bengkel hari ini akan memanfaatkan segala peluang untuk mempelajari teknik membanteras amalan tipuan bida dari pakar-pakar yang hadir. Seterusnya buku-buku Garis Panduan Menentang Tipuan Bida dalam Perolehan Awam dan buku “Help Us Detect Bid-Rigging” boleh dimuat turun dari laman web www.mycc.gov.my untuk rujukan semua secara percuma.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada hari ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri kerana sudi merasmikan majlis pelancaran hari ini.  Saya turut berterima kasih kepada pihak OECD, KPPU, dan KFTC, serta ahli panelis, para peserta dan pihak media yang hadir.

Wabillahitaufikwalhidayah, wassalamualikum w.b.t.

Disediakan oleh​: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Tarikh​​​: 19 Jun 2014