+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
Date: 
Thursday, January 17, 2013

Sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baru Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Teks Ucapan Y.Bhg. Tan Sri Dato” Seri Siti Norma Yaakob
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Date: 17 Jan 2013

Teks Ucapan Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baru Suruhanjaya
Persaingan Malaysia (MyCC)
17 January 2013 (Khamis), Aras 15, Menara SSM@Sentral

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia
Yang Berhormat Datuk Rohani binti Abdul Karim
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

Yang Berhormat Dato’ Basaruddin bin Sadali
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK
Anggota-anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia

Yang Berusaha Pn Shila Dorai Raj
Ketua Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Dif-dif Kehormat,
Rakan-rakan media,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan berkat dan limpah kurnia-Nya dapatlah kita bersama-sama berkumpul pada petang ini untuk perasmian ibu pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia atau nama ringkasnya MyCC.

Terlebih dahulu bagi pihak Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, saya meminta maaf atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Dato Sri tidak dapat hadir hari ini. Disini juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Rohani binti Abdul Karim, Timbalan  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kerana bersama kita pada petang ini untuk menyempurnakan majlis perasmian ibu pejabat MyCC bagi pihak Dato’ Sri.

Kepada semua pihak samada dari Kementerian atau agensi awam, badan berkanun, syarikat-syarikat swasta serta individu yang sudi hadir ke majlis ini – terima kasih dan selamat datang. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah sebagai tanda sokongan dan jalinan kerjasama erat terhadap MyCC dalam menjayakan objektif Akta Persaingan 2010.

Para hadirin yang saya hormati,

Dengan bermulanya tahun 2013, sudah genap satu tahun MyCC menguatkuasakan Akta Persaingan 2010. Semenjak tertubuhnya Suruhanjaya ini, pejabat MyCC sudah pun berpindah dua kali. Untuk kali ini kami dengan bersyukurnya bertapak di Menara SSM pula.

Dengan pejabat baru ini dan pembinaan institusi yang dijalankan seiring dengan perancangan penambahan tenaga pekerja, saya percaya MyCC akan terus maju dalam matlamat ia untuk mencapai objektif  Akta Persaingan 2010 selaku pemacu ekonomi negara.

Setakat ini, MyCC telah pun menghasilkan empat garis panduan, menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menangani isu persaingan antara Suruhanjaya, menjalankan 37 aktiviti advokasi, satu kajian pasaran dan beberapa konsultasi, serta menerima sebanyak 12 aduan dan permohonan untuk empat pengecualian disamping mengendalikan pelbagai pertanyaan mengenai Akta. Keputusan akhir telah pun diberi keatas salah sebuah kes manakala siasatan atas kes-kes lain sedang dipergiatkan mengikut prioriti.

Bagi sesetengah pihak, kemungkinan jumlah tersebut seperti tidak banyak. Namun kemungkinan juga ramai dikalangan kita yang tidak sedar bahawa disebalik tabir, jenis kajian yang perlu dijalankan dalam menangani sama ada aduan, kes ataupun permintaan pengecualian memerlukan penelitian dan permintaan maklumat dari pelbagai pihak dan sekaligus jangkamasa yang lama. Setiap aduan pula tidak diterima sewenangnya tetapi perlu dikaji kesahihannya menurut Akta.

Setakat ini, masih ramai yang mengelirukan isu kepenggunaan dengan isu persaingan dan oleh itu, usaha pendidikan yang berterusan adalah amat perlu.

Para hadirin yang saya hormati,

Kepentingan undang-undang persaingan yang didokong oleh penguatkuasaan yang berkesan tidak dapat dinafikan lagi. Oleh itu tahun 2013 akan memperlihatkan MyCC mempertingkatkan lagi usaha penguatkuasaan Akta. Advokasi pula merupakan antara aktiviti teras yang perlu untuk mana-mana Suruhanjaya baru dan selari dengan itu usaha advokasi dan konsultansi akan terus dijalankan oleh pihak MyCC, khususnya kepada entiti perniagaan dan agensi Kerajaan. Usaha dialog dengan golongan tertentu seperti pihak SME ataupun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga akan dipertingkatkan untuk mencapai persefahaman dan seterusnya membantu perkembangan pihak PKS.

Selain daripada itu, turut dalam perancangan kami juga adalah pelancaran Persidangan Undang-undang Persaingan yang pertama Negara kita – sekaligus menaikkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa sebagai Negara yang semakin maju berteraskan pembangunan dasar yang progresif.

Tahun ini juga akan memperlihatkan penambahan fokus MyCC keatas salah satu amalan antipersaingan iaitu tipuan bida atau “bid rigging”. Kenapa tipuan bida? Sebenarnya kebanyakan negara seperti Jepun, Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat sudah pun memperuntukkan aktiviti bid rigging sebagai fokus penguatkuasaan utama undang-undang persaingan masing-masing memandangkan ia berupaya memberikan kesan ekonomi buruk yang signifikan dan juga berlaku disemua industri, swasta ataupun Kerajaan.

Contohnya kajian yang dijalankan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) menunjukkan bahawa di kebanyakan negara, aktiviti perolehan kerajaan sahaja sudah lebih daripada 15% keluaran dalam negara kasar sesebuah negara.

Apabila aktiviti perolehan dicemari oleh perbuatan tipuan bida, pastinya ianya akan memberikan impak negatif kepada ekonomi sesebuah negara dan seterusnya akan membebankan para pembayar cukai kerana secara tidak langsung terpaksa membayar lebih dari harga yang sepatutnya bagi mendapatkan sesebuah barangan atau perkhidmatan.

Para hadirin yang saya hormati,

Akhir kata, saya ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, atas  sokongan yang diberi. Kami juga berterima kasih kepada mana-mana persatuan, agensi atau pihak awam dan swasta atas maklum balas dan sokongan masing-masing.

Saya juga berasa amat bertuah kerana mempunyai kakitangan yang berdedikasi dan gigih menjalankan tugas sepanjang tempoh yang mencabar ini. Terima kasih saya ingin ucapkan kepada mereka dan juga pihak pengurusan dan anggota Suruhanjaya.

Walaupun perjalanan masih jauh dan banyak cabaran yang menanti, saya yakin dengan kerjasama dan komitmen semua pihak –  dari Kerajaan, swasta, orang awam dan juga media – MyCC boleh terus meningkatkan usaha mengekang amalan antipersaingan sejurusnya membantu dalam perkembangan ekonomi berasaskan prinsip perniagaan yang kukuh.

Sekian, Wabillahittaufiq walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.