+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
Date: 
Wednesday, March 7, 2018

UCAPAN PERASMIAN

 

YBhg. Datin Seri Ruzaina Wan Haniff

Anggota Suruhanjaya

 

Siri Jelajah “#BEBASKARTEL dengan Penguatkuasaan Akta Persaingan 2010”

Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam

7 Mac 2018 (Rabu), 2:00 petang

 

Bismillahirahmanirrahim

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Pengerusi Majlis.

 

Dato’-Dato, Tuan-tuan dan puan-puan,

Para hadirin yang dihormati sekalian;

 

 

Selamat petang dan selamat datang ke Seminar #BEBASKARTEL dengan Penguatkuasaan Akta Persaingan 2010.

 

  1. Terlebih dahulu, izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini bagi mengalu-alukan kehadiran semua peserta ke program pada petang ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan merupakan sokongan kepada usaha kami di Suruhanjaya Persaingan Malaysia (“Suruhanjaya Persaingan”) dalam memperkenalkan peranan Suruhanjaya Persaingan dan objektif Akta Persaingan 2010 di Malaysia.

 

  1. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan  ucapan terima kasih kepada pihak urus setia Suruhanjaya Persaingan yang juga, dengan kerjasama dari pihak SME Corporation Malaysia dan  KPDNKK Negeri Selangor telah bertungkus lumus mengembleng tenaga dalam menganjurkan program ini. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

  1. Sebagai Anggota Suruhanjaya Persaingan, kami amat memerlukan kerjasama dan sokongan pihak tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama Suruhanjaya Persaingan melaksanakan penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 dengan lebih berkesan di negara kita. Di Malaysia, Suruhanjaya Persaingan Malaysia merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan khusus untuk menguatkuasakan undang-undang persaingan dan merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

 

  1. Akta Persaingan 2010 telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012. Tujuan utama Akta Persaingan 2010 ini adalah untuk melindungi proses persaingan dalam pasaran bagi mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan perusahaan agar pengguna mendapat manfaat melalui barangan dan perkhidmatan yang lebih berkualiti pada harga yang kompetitif.

 

  1. Akta Persaingan 2010 melarang dengan jelas amalan anti-persaingan seperti penetapan harga, perkongsian pasaran, pembatasan atau pengawalan pengeluaran, tipuan bida dan juga penyalahgunaan kedudukan dominan oleh sesuatu perusahaan dalam pasaran.

 

 

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

  1. Untuk makluman, Suruhanjaya Persaingan akan menyambut ulangtahun yang ke-7 pada 1 April 2018. Pelbagai aktiviti dan program advokasi dan publisiti sedang giat dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan sempena sambutan ulang tahun ini. Ini selaras dengan usaha Suruhanjaya Persaingan untuk terus berusaha meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai termasuklah pihak pengguna mengenai peranan dan objektif Akta Persaingan 2010.

 

  1. Di antara aktiviti-aktiviti tersebut, terdapat beberapa pertandingan yang diadakan seperti Photography Contest  yang terbuka kepada semua, Essay Writing Competition yang terbuka kepada pelajar universiti, dan Choral Speaking Competition di kalangan pelajar sekolah menengah. Para hadirin boleh mendapat maklumat terus dengan pegawai-pegawai Suruhanjaya Persaingan yang berada di sini, mahupun melawat laman web Suruhanjaya Persaingan, bagi mendapat maklumat lanjut mengenai semua aktiviti yang saya nyatakan sebentar tadi.

 

  1. Suruhanjaya Persaingan kini sedang menjalankan Siri Jelajah yang bertemakan “#BEBASKARTEL dengan Penguatkuasaan Akta Persaingan 2010” termasuklah yang dijalankan pada hari ini yang merupakan siri jelajah yang ke 8 sejak 21 Februari 2018 yang lalu. Program siri jelajah yang melibatkan 9 buah negeri yang terpilih di seluruh Malaysia ini merupakan salah satu usaha berterusan Suruhanjaya Persaingan untuk bersama pihak-pihak berkepentingan di peringkat negeri-negeri yang terpilih di seluruh Malaysia.

 

  1. Selain itu, untuk makluman para hadirin, Suruhanjaya Persaingan telah membangunkan satu sistem e-pembelajaran mengenai undang-undang persaingan khusus untuk golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME). Pada hari ini, Suruhanjaya Persaingan akan memperkenalkan dan memberi latihan serta penerangan dengan lebih terperinci menggunakan sistem e-pembelajaran tersebut yang dikenali sebagai “e-learning system on competition compliance for SMEs”.

 

  1. Setelah selesai latihan ini, para hadirin akan mendapat sijil latihan secara digital.  Sistem e-pembelajaran ini dibangunkan bagi memberi pembelajaran mengenai larangan-larangan utama di bawah Akta Persaingan 2010. Sistem ini merupakan sistem “web-based” yang telah dibuka kepada orang awam sejak bulan Jun 2017.

 

Para hadirin sekalian,

 

  1. Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi antara kejayaan penguatkuasaan yang telah dicapai oleh Suruhanjaya Persaingan dalam tempoh terdekat ini sebagai makluman bersama. Suruhanjaya Persaingan telah memuktamadkan dua kajian semula pasaran di bawah Akta Persaingan 2010 dalam sektor farmaseutikal dan bahan binaan dalam industri pembinaan pada 9 Januari 2018 yang lalu.

 

  1. Bagi yang berminat, kedua-dua laporan ini boleh dirujuk di laman web Suruhanjaya Persaingan. Kajian semula pasaran sektor farmaseutikal yang telah dijalankan oleh MyCC memberi tumpuan kepada ubat-ubatan terkawal dalam dua peringkat rantaian bekalan iaitu pengilang ubat-ubatan generik serta pengimport ubat-ubatan baru dan generik di peringkat pertama, dan pemborong serta pengedar ubat-ubatan baru dan generik di peringkat kedua.

 

  1. Kajian semula pasaran bahan binaan dalam industri pembinaan pula dijalankan kerana kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup dan kekurangan rumah mampu milik di Malaysia. Sebanyak empat bahan binaan telah difokuskan iaitu keluli, simen, konkrit bancuh siap dan pasir yang menyumbang hampir 60% daripada anggaran nilai lapan jenis bahan binaan utama yang digunakan pada tahun 2016. Dapatan kajian mendapati bahawa keempat-empat bahan binaan tersebut bukanlah faktor utama yang mempengaruhi peningkatan harga rumah di Malaysia.

 

  1. Selain itu, Suruhanjaya Persaingan juga telah menerima Aku Janji daripada sekumpulan pengusaha pasir di Kelantan ke atas perjanjian penetapan harga pasir bagi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang di Negeri Kelantan. Pengusaha-pengusaha ini telah memberikan Aku Janji untuk memansuhkan senarai harga pasir yang telah dikeluarkan pada 10 Januari 2017, memberhentikan apa-apa perlakuan anti persaingan lain berkaitan dengan pengeluaran senarai harga tersebut, serta mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai aku janji yang telah dibuat.

 

  1. Selain itu, antara kejayaan lain baru-baru ini ialah bila mana Tribunal Rayuan Persaingan telah menolak rayuan oleh My E.G. Services Berhad  terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan, yang bertarikh 24 Jun 2016, dengan mendapati syarikat ini telah melanggar seksyen 10(2)(d)(iii) Akta Persaingan 2010, dan dikenakan penalti sebanyak RM 6.4 juta.  

 

  1. Saya berharap dengan perkongsian saya ini akan membantu meningkatkan pemahaman dan kesedaran para hadirin sekelian yang hadir pada hari ini, mengenai tugas dan fungsi kami di Suruhanjaya Persaingan dalam mengenal pasti dan mengatasi amalan anti-persaingan di kalangan perusahaan di negara ini demi melindungi kepentingan pengguna.

 

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin memaklumkan tuan-tuan dan puan-puan agar menghubungi Suruhanjaya Persaingan jika mempunyai sebarang soalan atau mengesyaki perkara yang mencurigakan dalam sesuatu urusan perniagaan yang dirasakan melanggar Akta Persaingan 2010. Kami amat mengalu-alukan aduan dan maklumat daripada pihak tuan-tuan dan puan-puan demi menjaga dan melindungi proses persaingan yang sihat di antara perusahaan-perusahaan di negara kita ini.

 

  1. Akhir sekali, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin di atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan program pada hari ini. Saya berharap semua yang hadir akan mendapat manfaat yang sebaiknya dalam usaha kita bersama untuk memastikan pelaksanaan Akta Persaingan 2010 di Malaysia dapat dicapai dengan jayanya. 

 

  1. Dengan lafaz “Bismillahirahmanirrahim” saya dengan ini merasmikan program pada hari ini.

 

Sekian, terima kasih.

 

Wabillahitaufikwalhidayah, wassalamualikum w.b.t.