+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
Date: 
Friday, November 27, 2015

UCAPAN PERASMIAN
YB DATO’ HAMZAH BIN ZAINUDIN
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI,
KOPERASI & KEPENGGUNAAN

 

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA (MyCC), mAKTAB KOPERASI mALAYSIA (MKM) DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
27 November 2015, KPDNKK, Putrajaya

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia

 

YBhg. Dato' Haji Zaidon Haji Asmuni
Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan

 

YBhg. Dato’ Ahmad Hisham Kamaruddin
Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia

 

YBhg. Dato’ Abu Samah Shabudin
Ketua Pegawai Eksekutif
Suruhanjaya Persaingan Malaysia

 

Ketua-Ketua Agensi KPDNKK

Ketua-Ketua Bahagian KPDNKK

 

Barisan Dif-dif Kehormat dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi

 

Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, Wakil-wakil media,

 

dan Para Hadirin yang saya Hormati Sekalian.

 

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia,

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita dapat bersama pada pagi ini di “Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara MyCC, MKM serta lima Institusi Pengajian Tinggi iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Taylor’s University.”

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir pada majlis hari ini, termasuk pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar dari semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat. Saya juga, bagi pihak Yang Berhormat Menteri, ingin memohon maaf atas ketidak hadiran beliau atas urusan lain yang tidak dapat dielakkan. Saya mewakili Yang Berhormat untuk merasmikan majlis pada hari ini.

 

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Seperti yang kita semua tahu, Akta Persaingan 2010 yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia pada 1 April 2010 adalah bertujuan untuk meningkatkan kebajikan pengguna, amalan perniagaan yang sihat dan pembangunan ekonomi negara. Akta ini akan memastikan wujudnya persaingan yang sihat di dalam pasaran dan seterusnya memberi kesan yang mendalam kepada pengguna, perusahaan dan ekonomi Negara. Ianya dapat memelihara hak pengguna terutamanya dalam membuat pilihan dan mendapat akses kepada perkhidmatan/produk yang berkualiti pada harga yang lebih kompetitif. Akta ini bukan sahaja mampu menjamin hak pengguna malah menjadi insentif kepada usahawan-usahawan yang sedia ada dan baru untuk menjadi lebih efisyen dan inovatif dalam menjalankan perniagaan.

IPT merupakan medan ilmu yang menjalankan kerja-kerja pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Mereka adalah pendidik dan pembekal tenaga kerja untuk masa depan negara. Dengan ini, kita perlu sedar bahawa peranan mereka adalah amat penting dalam memastikan para graduan yang berjaya dalam pengajian kelak akan dapat memasuki pasaran kerja dengan lebih memahami struktur pasaran dan bagaimana dasar dan fungsi Kerajaan terutamanya yang menyentuh isu kepenggunaan dan undang-undang persaingan. Ini juga menunjukkan bahawa kerjasama dan persefahaman seperti majlis hari ini adalah satu inisiatif yang perlu diberi perhatian serius dalam usaha semua pihak untuk mendidik graduan universiti yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam undang-undang persaingan.

Saya dimaklumkan oleh MyCC bahawa salah satu kaedah yang boleh membantu usaha ini adalah dengan memperkenalkan program dan kursus baru atau menambahbaik program atau kursus yang sedia ada dalam bidang persaingan di peringkat universiti. Seperti yang dimaklumkan oleh YBhg. Tan Sri Pengerusi MyCC sebentar tadi dalam ucapannya bahawa modul dan subjek undang-undang persaingan telah lama diperkenalkan oleh universiti-universiti di peringkat antarabangsa seperti The University of Melbourne, Australia dan King’s College London. Selain itu, program-program advokasi atau seminar yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam bidang persaingan di kalangan graduan dan warga Universiti juga boleh diambil melalui kerjasama seperti ini.   

 

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Adalah menjadi harapan saya juga sekiranya pakar-pakar ilmu dari MKM dan semua IPT yang hadir pada hari ini agar dapat bersama-sama MyCC dan juga pihak Kementerian melibatkan diri dalam perbincangan mengenai isu-isu persaingan dan kepenggunaan di Malaysia. Perkongsian ilmu dan hasil-hasil kajian yang dilakukan di antara semua pihak sedikit sebanyak akan dapat menyumbang kepada usaha-usaha Kerajaan dalam membuat pembaharuan kepada undang-undang sedia ada atau mungkin perlu memperkenalkan dasar atau undang-undang yang baru.

Kementerian juga telah banyak menjalankan inisiatif yang melibatkan pihak IPT. Kementerian telah mewujudkan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di IPT sebagai satu entiti kumpulan yang berstruktur, berpelembagaan, berperaturan dan berkepimpinan yang dianggotai pelajar-pelajar institut pengajian tinggi yang mempunyai minat dan kecenderungan dalam memperjuangkan dan memperkasakan hal-hal kepenggunaan. Sehingga November 2015, terdapat 150 GPS telah ditubuhkan di IPT seluruh Malaysia dengan jumlah keahlian melebihi 15,000 orang. Kementerian turut menyalurkan Geran Kewangan Aktiviti kepada setiap GPS bagi melaksanakan program dan aktiviti kepenggunaan bersama masyarakat setempat.

Selain itu, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) telah dilancarkan oleh Kementerian pada 2 Julai 2012 bertujuan untuk membantu meringankan perbelanjaan para siswa di IPT di seluruh negara. Sejak pelancaran, sebanyak 1.875 juta KADS1M telah diedarkan secara percuma kepada para pelajar IPT seluruh Malaysia. Pemegang KADS1M layak untuk menerima diskaun yang ditawarkan oleh rakan dagang (merchant) di antara 2 peratus hingga 80 peratus bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih dan tertakluk kepada kadar, terma serta syarat yang telah ditetapkan. Inisiatif ini tidak melibatkan tambahan kos kepada perbelanjaan Kerajaan. Sebaliknya penglibatan rakan dagang (merchant) dalam inisiatitif KADS1M adalah berbentuk tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibility – CSR) dan cetakan kad ditaja oleh Bank Rakyat. Sehingga November 2015, terdapat 400 rakan dagang telah menyertai inisiatif KADS1M meliputi 13 segmen perniagaan, antaranya makanan dan minuman, buku/alat tulis, penginapan dan pengangkutan serta produk/perkhidmatan kesihatan.

Saya amat gembira dengan kerjasama yang akan dimeterai sebentar lagi di mana saya lihat ia pasti akan dapat mewujudkan ruang di antara dua pihak melalui perkongsian pintar dalam menyampaikan program-program pendidikan kepada pelajar-pelajar mengenai dasar dan amalan undang-undang persaingan, dengan tujuan untuk mengukuhkan pemahaman dalam masyarakat yang lebih luas tentang persaingan dan faedah-faedahnya. Matlamat lain adalah untuk memastikan bekalan kumpulan pakar secara berterusan di negara kita yang dapat memberi pendidikan dan latihan kepada pelajar-pelajar khususnya dalam undang-undang persaingan dan ekonomi.

 

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Akhir kata, saya ingin mengucapkan sakalung tahniah kepada MyCC di atas kejayaan yang julung-julung kalinya ini dapat mengadakan kerjasama bersama lima institusi pengajian tinggi termasuk rakan seagensi iaitu MKM dalam majlis yang sama. Ini menunjukkan komitmen MyCC yang tinggi dalam usaha menggalakkan pendidikan undang-undang persaingan di negara ini.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan ucapan penghargaan kepada Naib-Naib Canselor, Rektor, Dekan dan warga Universiti dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), dan Taylor’s University yang hadir pada hari ini serta Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM).

Saya berharap MyCC akan dapat memastikan pelan-pelan aktiviti yang dirancang kelak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sudah tentu usaha seperti ini tidak dapat dijalankan dengan berkesan tanpa sokongan dari setiap pihak iaitu pihak MKM dan rakan institusi pengajian tinggi yang terlibat. Akhir kata, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan tahniah kepada pihak MyCC dan berharap walaupun dengan kekangan yang mungkin dihadapi, segala usaha murni yang telah lama dijalankan oleh mereka akan sentiasa diteruskan dan ditingkatkan.

Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan majlis pada hari ini. Sekian, terima kasih.

 

Wabillahitaufikwalhidayah, wassalamualikum w.b.t.