+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
Date: 
Saturday, October 28, 2017

TEKS UCAPAN
PENGERUSI

SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA

THE 2 ND MOOT COURT COMPETITION ON COMPETITION LAW 2017

28-30 OKTOBER 2017,

IBRAHIM KULIYYAH OF LAWS (AIKOL), IIUM

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

YB Dato' Seri Seri Hamzah Zainudin,
Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan;
YBhg. Dato' Sri Jamil Salleh,
Ketua Setiausaha KPDNKK;
Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamarudin
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
YBhg. Dato’ Razali Bin Othman,
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK;
Anggota-Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia;
YBhg. Dato’ Abu Samah Shabudin,
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC;
Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, Wakil-wakil media;
Para Siswa dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi;
dan Para Hadirin yang dihormati Sekalian,

2

1. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin
dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama pada pagi ini di Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena majlis penutup “The
2nd Moot Court Competition on Competition Law 2017” yang
dianjurkan buat kedua kalinya oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia
(MyCC).

2. Izinkan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada YB Dato' Seri Hamzah Zainudin, Menteri
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan kerana sudi meluangkan masa bersama kita pada
hari ini bagi menyokong usaha MyCC dalam menjayakan majlis ini.

3. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran semua hadirin
terutamanya pensyarah, pelajar dan wakil-wakil dari pihak universiti,
pegawai-pegawai kanan dari KPDNKK dan agensi-agensi di bawah
KPDNKK serta wakil media yang sudi hadir ke majlis ini tanda
sokongan kepada MyCC.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

4. Sejak penubuhan MyCC pada 1 April 2011, pelbagai usaha dan
inisiatif telah diambil oleh MyCC dalam membangunkan budaya
persaingan di negara ini melalui aktiviti-aktiviti penguatkuasaan,
advokasi dan pematuhan, kajian pasaran, penerbitan buku-buku
panduan, pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan.

5. Saya selaku Pengerusi MyCC berbesar hati untuk memberitahu
bahawa MyCC telah memberi penekanan bukan sahaja kepada

sektor perniagaan, tetapi juga kepada masyarakat umum dan
golongan pengguna termasuklah pihak institusi pengajian tinggi
mengenai kepentingan pelaksanaan Akta Persaingan 2010.

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

6. ‘Moot Court Competition on Competition Law’ yang pertama kali
diadakan pada tahun 2016 telah menerima sambutan dan penyertaan
yang menggalakkan dari para pelajar universiti melibatkan Institut-
institut Pengajian Tinggi (IPT) terpilih. Maklumbalas yang diperoleh
dari pelajar-pelajar menyatakan penghargaan mereka terhadap
usaha MyCC dalam menganjurkan pertandingan seumpama ini yang
ternyata berbeza dari pertandingan ‘Moot Court’ yang biasa mereka
sertai sebelum ini. Selain itu, pertandingan ini juga telah membuka
mata ramai tenaga pengajar dan pelajar mengenai Undang-Undang
Persaingan yang masih baharu, justeru menjadikan ia suatu cabaran
buat para graduan universiti untuk menerokai bidang persaingan
yang merupakan suatu subjek yang menarik untuk dipelajari.

7. Penyiasatan kes-kes di bawah Akta Persaingan 2010 memerlukan
kepakaran ekonomi dan perundangan yang sangat tinggi.
Kemungkinan ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa
pelbagai jenis penyelidikan dan kajian yang perlu dijalankan oleh
MyCC dalam menyelesaikan sesuatu aduan dan kes yang
memerlukan penelitian dan maklumat terperinci dari pelbagai pihak
yang boleh mengambil jangkamasa yang lama. Setiap aduan tidak
diterima sewenangnya oleh MyCC dan perlu dikaji kesahihan
mengikut Akta. Oleh itu, usaha penyelidikan yang berterusan adalah
amat perlu bagi MyCC.

8. Justeru, saya berpendapat, dengan wujudnya program “Moot Court
Competition on Competition Law” seperti hari ini, ia secara tidak
langsung akan dapat menggalakkan lagi bidang pendidikan dan
penyelidikan berkaitan dengan undang-undang persaingan di
Malaysia di kalangan pihak universiti. Program ini merupakan di
antara inisiatif MyCC untuk pihak institusi pengajian tinggi
meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai Akta
Persaingan 2010. Program kali ini telah disertai oleh tujuh
penyertaan dari empat buah Institusi Pengajian Tinggi Awam
iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara
Malaysia (UUM), Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM), dan
Universiti Malaya (UM). Penyertaan tahun ini lebih menggalakkan
berbanding dengan tahun lepas dan InshaAllah MyCC akan terus
berusaha untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan
yang pastinya dengan kerjasama dan sokongan dari KPDNKK dan
pihak IPT.

9. Sepertimana para hadirin sedia maklum, MyCC telah
menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama
Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan lima buah institusi pengajian
tinggi pada tahun 2015. Di antara program-program yang telah
dijalankan oleh MyCC bersama pihak IPT melalui MOU tersebut
sepanjang tahun ini adalah seperti program sangkutan jangkamasa
pendek untuk para pensyarah di MyCC, latihan industri untuk para
pelajar di MyCC, mengadakan latihan dan program advokasi di
antara dua pihak serta membantu membangunkan serta
menambahbaik program atau kursus mengenai undang-undang
persaingan di beberapa universiti. Subjek undang-undang

persaingan kini telah diperkenalkan di beberapa universiti di
Malaysia yang menjadi subjek elektif sama ada di peringkat ijazah
atau sarjana. Selain itu, terdapat juga beberapa universiti yang
sedang berusaha untuk memperkenalkan subjek undang-undang
persaingan di Universiti masing-masing. Langkah-langkah seperti ini
semestinya akan membantu MyCC dalam mewujudkan golongan
pakar dan membina kapasiti yang berkepakaran dan
berpengetahuan tinggi dalam bidang persaingan di Malaysia.

Para Hadirin yang dihormati sekalian,

10. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan
terima kasih kepada YB Menteri KPDNKK serta para hadirin yang
hadir di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam
menjayakan majlis kita pada hari ini. Ucapan penghargaan dan
terima kasih juga kepada Rektor UIAM dan para siswa dari Ahmad
Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL), UIAM yang turut membantu
sebagai barisan urusetia bersama-sama MyCC dalam menjayakan
program ini.

11. Saya yakin dengan kerjasama secara berterusan seperti ini, kita
akan dapat mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara yang berdaya saing di peringkat global. Sekian,
terima kasih.

Wabillahitaufikwalhidayah , w.b.t. wassalamualiku.

Disediakan oleh : Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Tarikh : 25 Oktober 2016