+603-2273 2277
Level 15, Menara SSM @Sentral
Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral,
Federal Territory of Kuala Lumpur
enquiries[at]mycc.gov.my
-A A +A
Date: 
Monday, September 2, 2013

Ucapan Perasmian YB Dato’ Hasan bin Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan pada Majlis Pelancaran Buku Panduan
‘Competition Act 2010: A Guide For Business’
The Ritz Carlton Hotel, Kuala Lumpur
Date: 2 Sep 2013

Bismillah irrahman irrahim
Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh

Y.Bhg. Dato’ Mohd Arif Bin Ab Rahman
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Dr. Michael O.K. Yeoh
Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Anggota-Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Y.Brs. Puan Shila Dorai Raj
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC
Ketua-Ketua Bahagian KPDNKK
Ketua-Ketua Agensi KPDNKK
Y.Bhg. Tan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan
Wakil-wakil Media-Massa
dan Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian.

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,

  1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana telah berjaya melancarkan buku panduan “Competition Act 2010: A Guide for Business” yang bakal menjadi rujukan kepada golongan peniaga dan usahawan di Malaysia berkenaan dengan pelaksanaan Akta Persaingan 2010 di dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan berdayasaing. Memandangkan Akta Persaingan 2010 merupakan suatu bentuk perundangan baru di Malaysia yang telah mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012, langkah ini adalah amat bertepatan di dalam memastikan para peniaga dan usahawan dapat memahami dengan jelas dan tepat mengenai tujuan dan fungsi akta ini dikuatkuasakan.
  2. Kita sedia maklum bahawa Malaysia merupakan di antara 140 negara di dunia yang telah mempunyai undang-undang persaingan. Sememangya kita tidak dapat menafikan bahawa Akta Persaingan 2010 ini telah membawa perubahan yang besar terhadap amalan perniagaan di Malaysia. Dengan adanya penguatkuasaan yang berkesan terhadap Akta ini, pastinya proses pasaran bebas dan liberalisasi di Negara kita akan dilindungi dan tidak akan terjejas dengan anasir-anasir negatif seperti perlakuan amalan kartel. Buku ini adalah amat sesuai dan tepat pada masanya untuk dikeluarkan oleh MyCC sebagai rujukan kepada para peniaga dalam memastikan strict compliance oleh para stakeholders dapat dipertingkatkan di samping meningkatkan kesedaran akan peri pentingnya aktiviti persaingan yang sihat di dalam pasaran perniagaan. Saya difahamkan juga bahawa buku panduan ini merupakan salah satu daripada beberapa siri garispanduan dan buku panduan yang telah berjaya dikeluarkan oleh MyCC.

    Peranan Golongan Peniaga dalam Pelaksanaan Akta Persaingan 2010

     

  3. Saya tidak akan menyentuh dengan lebih lanjut mengenai Akta Persaingan 2010 ini kerana para hadirin yang hadir pada petang ini akan terlibat dengan sesi dialog bersama MyCC di dalam sesi selanjutnya. Saya pasti para hadirin yang saya hormati sekalian akan mengambil manfaat sepenuhnya dalam sesi dialog tersebut untuk mengetahui dengan lebih jelas lagi mengenai kepentingan dan kebaikan pengenalan Akta ini terutamanya dari kacamata golongan peniaga dan usahawan.
  4. Walau bagaimanapun, ingin saya tekankan di sini bahawa undang-undang persaingan adalah penting untuk menyediakan kesamarataan untuk semua golongan peniaga, sama ada peniaga yang besar atau yang kecil, di mana syarikat-syarikat bersaing berdasarkan kepada kualiti barangan dan perkhidmatan mereka, dan bukannya dengan cara menjalankan pakatan sulit atau menyalahgunakan kuasa dominan mereka. Peranan persatuan peniaga adalah amat penting dalam membantu para peniaga memahami dan menjalankan tanggunjawab mereka dalam menjayakan pelaksanaan Akta ini. Kita semua harus sedar dan tahu bahawa dengan adanya undang-undang persaingan ini, ia akan dapat mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang kondusif untuk menggalakkan para peniaga menjadi lebih pintar, inovatif dan responsif kepada permintaan dan keperluan pengguna. Para peniaga akan lebih berdaya saing dalam memenangi hati pengguna, manakala pengguna pula akan dapat menikmati lebih banyak pilihan, harga yang berpatutan dan kualiti barangan atau perkhidmatan yang lebih baik. Secara keseluruhan hasil daripada persaingan yang sihat ini, Negara kita akan mempunyai pasaran yang lebih cekap dan dinamik dengan perkembangan ekonomi yang lebih kukuh.

    Para Hadirin yang Saya Hormati Sekalian,
    Menggalakkan Budaya Pematuhan Persaingan

     

  5. Sekiranya dirujuk kepada 7 Teras Strategik KPDNKK, tiga daripadanya adalah tertumpu untuk meningkatkan sumbangan sektor perdagangan dalam negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif  dan juga menuju ke arah liberalisasi pasaran. Ini adalah selaras dengan peranan utama MyCC di mana untuk melindungi proses persaingan bagi kebaikan kepada peniaga, pengguna dan ekonomi negara. Dengan itu, KPDNKK dan MyCC akan sentiasa mengadakan kerjasama bagi membantu dan menggalakkan golongan peniaga khususnya untuk mematuhi Akta Persaingan 2010 ini. Dengan menggalakkan pematuhan ianya secara tidak langsung akan boleh meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta Persaingan 2010. Saya percaya disamping menjalankan aktiviti-aktiviti penyiasatan dan penguatkuasaan Akta Persaingan 2010, pihak MyCC juga akan terus menyokong dan menggalakkan para peniaga untuk mewujudkan budaya pematuhan terhadap Akta Persaingan 2010 ini.

    Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian,

  6. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada MyCC di atas kejayaan menghasilkan buku panduan ini dan berharap bahawa MyCC akan sentiasa menjalankan program-program kesedaran dan forum seperti ini bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat yang sewajarnya. Sudah tentu usaha seperti ini tidak dapat dijalankan dengan berkesan tanpa sokongan dari setiap pihak terutama organisasi media di dalam menyebarkan maklumat terkini dan memberikan liputan yang meluas terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak MyCC.
  7. Cabaran kita untuk masa yang akan datang adalah untuk terus menyampaikan maklumat mengenai Akta Persaingan 2010 ini dengan jelas dan bukan teknikal supaya senang difahami oleh semua golongan serta memastikan bahawa rejim persaingan akan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara dan memberi manfaat berguna kepada pengguna. Dengan ini, saya berbesar hati untuk melancarkan buku panduan yang diterbitkan oleh MyCC khusus untuk golongan peniaga dan usahawan yang berjudul “Competition Act 2010: A Guide for Business”.

Wabilahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullah hi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

Disediakan Oleh:
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
27 Ogos 2013