Sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baru Suruhanjaya Persaingan Malaysia(MyCC)

Sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baru Suruhanjaya Persaingan Malaysia(MyCC)
Teks Ucapan Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan
Date: 20 Dec 2012

Teks Ucapan Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan
Sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baru Suruhanjaya 
Persaingan Malaysia (MyCC)
20 Disember 2012 (Khamis), Aras 15, Menara Ssm@Sentral
Kuala Lumpur Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Anggota-anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia

Yang Berhormat Dato’ Basaruddin bin Sadali
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK

Yang Berusaha Pn Shila Dorai Raj
Ketua Pengarah Eksekutif

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Dif-dif Kehormat,
Rakan-rakan media,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama hadir dimajlis kita pada petang ini.

Sesungguhnya hari ini merupakan hari yang bermakna untuk Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai salah sebuah agensi baru dibawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana hari ini kita akan bersama-sama menyaksikan perasmian ibu pejabat baru MyCC.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Mungkin ramai dikalangan kita di sini tidak tahu akan pembangunan sejarah berkaitan dengan hasrat kementerian untuk mewujudkan dasar dan undang-undang persaingan negara yang telah tercapai apabila Parlimen meluluskan Akta Persaingan dan Akta Suruhanjaya Persaingan pada Jun 2010. KPDNKK telah mula membuat kajian berkenaan dengan dasar amalan perdagangan adil semenjak dari tahun 1991 lagi, iaitu sejak KPDNKK mulai diwujudkan dan dipisahkan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Detik-detik perjalanan yang membawa kepada penggubalan Akta Persaingan 2010 dan penubuhan MyCC dibawah KPNDKK telah mengambil proses yang lama. Ini adalah kerana proses konsultasi dengan pelbagai stakeholders yang wajib diadakan untuk mengambil kira mana-mana isu yang melibatkan para peniaga. Kita prihatin mengambil langkah-langkah tersebut untuk mengelakkan Akta ini daripada membebani para peniaga.

Walaubagaimanapun, saya sedar bahawa segelintir golongan peniaga menganggap Akta ini sebagai sesuatu yang membebankan mereka. Sebenarnya ianya memberi manfaat kepada peniaga kerana dengan menggalakkan daya saing yang tinggi, ia menjuruskan kepada peningkatan tahap efisiensi perniagaan. Adalah amat penting untuk pengusaha-pengusaha Malaysia memahami betapa perlunya mereka mengguna pakai amalan terbaik serta piawaian antarabangsa supaya boleh bersaing di peringkat global.

Akta ini juga boleh diibaratkan sebagai perisai atau “shield” untuk para peniaga dimana jika mereka ditindas oleh peniaga lain dari segi persaingan, mereka boleh merujuk kepada MyCC untuk mendapatkan keadilan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan tertubuhnya MyCC, negara kita sesungguhnya memberikan isyarat bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga dunia betapa kerajaan serius dan komited dalam menekankan prinsip-prinsip persaingan sihat di kalangan peniaga-peniaga.

Selain daripada itu kita juga telah meletakkan Malaysia di persada antarabangsa – setiap langkah kita dalam melaksanakan Akta ini menjadi tumpuan negara-negara lain, sama ada negara yang sudah lama mempraktikkan undang-undang persaingan atau yang baru melaksanakan undang-undang tersebut di negara masing-masing. Saya yakin bahawa dengan garis panduan-garis panduan dan SOP yang telah dirangka, implementasi Akta ini akan dibuat secara telus dan adil di Malaysia.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Sejak MyCC ditubuhkan pada April 2011, usaha pembangunan institusi telah dijalankan dengan intensif. Dan kini pada permulaan 2013 dan dengan perasmian ini saya ingin memberi isyarat kepada komuniti perniagaan bahawa MyCC bersedia melaksanakan Akta Persaingan 2010 dengan sesungguhnya. Dengan itu, para peniaga haruslah sedar akan perlunya mereka memahami dan mematuhi Akta ini dengan sewajarnya.

Melihatkan Akta ini masih baru, pelbagai program advokasi telah dijalankan oleh pihak MyCC untuk meningkatkan kesedaran mengenai Akta ini. Sesi advokasi serta konsultasi telah dijalankan untuk mendapatkan “buy-in” daripada stakeholders dan seterusnya menggalakkan pematuhan ataupun “compliance”.

Namun demikian, advokasi bersertakan penguatkuasaan adalah amat perlu untuk menyemai budaya pematuhan atau “compliance” di kalangan peniaga. Oleh itu pihak MyCC akan terus berteraskan advokasi secara keseluruhannya tetapi seiring dengan itu, penguatkuasaan akan dipertingkatkan untuk menekankan kepada para peniaga bahawa Kerajaan amat mengambil berat tentang isu persaingan. MyCC tidak akan setakat mengambil “soft approach” – perniagaan yang didapati bersalah akan dikenakan penalti.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir kata, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan tahniah kepada pihak MyCC dan berharap walaupun dengan kekangan yang mungkin dihadapi, segala usaha murni yang telah lama dijalankan oleh mereka akan sentiasa diteruskan dan ditingkatkan.

Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan ibu pejabat baru Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Sekian, terima kasih.  Wassalam.