Ucapan Aluan Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Dr Michael O.K. Yeoh, Anggota Suruhanjaya MyCC Di Pelancaran Buku Panduan ‘Competition Act 2010: A Guide For Business’

Ucapan Aluan Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Dr Michael O.K. Yeoh,
Anggota Suruhanjaya MyCC di Pelancaran Buku Panduan ‘Competition Act 2010: A Guide For Business’
The Ritz Carlton Hotel, Kuala Lumpur
Date: 2 Sep 2013

YB Dato’ Hasan Bin Malek
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan
Y.Bhg. Dato’ Mohd Arif Bin Ab Rahman
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK
Y.Bhg. Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria
Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Tuan Abd Malek Ahmad
Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia
Y.Brs. Puan Shila Dorai Raj
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC
Ketua-Ketua Bahagian KPDNKK
Ketua-Ketua Agensi KPDNKK
Y.Bhg. Tan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan
Wakil-wakil Media-Massa
dan Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekalian.

Salam Sejahtera,

  1. Terlebih dahulu izinkan saya untuk mengucapkan selamat datang kepada YB Menteri dan semua tetamu jemputan ke masjlis pelancaran buku panduan “Competition Act 2010: A Guide for Business” oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Saya sebagai salah seorang daripada Anggota Suruhanjaya MyCC berasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama berada di majlis yang sangat bermakna kerana buku ini telah dinanti-natikan oleh masyarakat perniagaan. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf bagi pihak Pengerusi MyCC, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma Yaakob yang tidak dapat hadir pada hari ini disebabkan oleh beliau mempunyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.
  2. Sepertimana para hadirin sedia maklum, buku panduan “Competition Act 2010: A Guide for Business” merupakan salah satu daripada kesinambungan usaha berterusan pihak MyCC dalam program advokasi. Buku ini merupakan antara satu lagi penerbitan oleh MyCC di dalam proses meningkatkan kesedaran pihak peniaga dan usahawan khususnya akan peri pentingnya pematuhan serta pemakaian Akta Persaingan 2010 ini.  Jika para hadirin masih ingat lagi, pada tahun 2012 MyCC telah melancarkan beberapa siri garispanduan khusus mengenai tatacara pemakaian Akta Persaingan 2010 dan buku panduan yang pertamanya juga telah berjaya dilancarkan pada bulan Julai 2012 yang fokusnya adalah untuk masyarakat umum.
  3. Saya tidak akan menyentuh dengan lebih lanjut mengenai buku panduan ini kerana saya akan memberi taklimat ringkas mengenai kandungan buku ini bersama para hadirin sekalian pada petang ini selepas majlis pelancaran diadakan. Walau bagaimanapun, ingin saya tekankan di sini bahawa saya percaya buku ini merupakan hasil kerja MyCC yang amat berguna dan bermanfaat untuk dirujuk dalam mendapatkan maklumat dengan lebih jelas mengenai kepentingan dan kebaikan pengenalan Akta ini terutamanya untuk golongan peniaga dan usahawan.Para Hadirin yang Saya Hormati Sekalian,
  4. Komuniti dewan perniagaan merupakan satu medium penting sebagai sebuah rangkaian untuk menghubungkan semua peniaga yang menjadi tulang belakang kepada negara dalam mencapai status negara maju dan membangun. Masa depan ekonomi negara adalah bergantung kepada komuniti ini dan komuniti ini memainkan peranan yang amat penting untuk bersama-sama membantu MyCC melaksanakan Akta Persaingan 2010. Saya amat pasti para hadirin semua telah memahami istilah ‘compliance’ atau pematuhan. Saya ingin tekankan sekali lagi di sini bahawa budaya pematuhan yang efektif terhadap akta ini akan memberi kesan yang positif kepada persekitaran sesebuah perniagaan di mana perniagaan akan dapat berkembang maju dan kekal berdaya saing dalam industrinya.
  5. Akhir kata, ingin saya menjemput para hadirin untuk bersama-sama menyokong usaha MyCC untuk membawa perubahan kepada suasana perniagaan dengan mengambil tindakan yang positif untuk memastikan persaingan yang sihat diamalkan oleh semua para peniaga. Adalah menjadi harapan kami di MyCC dengan pelancaran buku panduan ini, akan dapat membantu para peniaga untuk meningkatkan pematuhan terhadap Akta Persaingan 2010. Sekali lagi saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri kerana sudi meluangkan masa untuk merasmikan majlis pelancaran pada petang iniSekian, terima kasih.

Disediakan Oleh:
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
27 Ogos 2013