TEKS UCAPAN ALUAN OLEH TAN SRI DATO’ SERI SITI NORMA YAAKOB : MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA (MyCC), MAKTAB KOPERASI MALAYSIA (MKM) DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

UCAPAN ALUAN
YBHG. TAN SRI DATO’ SERI SITI NORMA YAAKOB
PENGERUSI SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA

 

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DI ANTARA SURUHANJAYA PERSAINGAN MALAYSIA (MyCC), MAKTAB KOPERASI MALAYSIA (MKM) DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

27 November 2015, KPDNKK, Putrajaya

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

YBhg. Dato' Sri Alias Haji Ahmad
Ketua Setiausaha
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan

 

YBhg. Dato' Haji Zaidon Haji Asmuni
Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan

 

YBhg. Dato’ Ahmad Hisham Kamaruddin
Anggota Suruhanjaya Persaingan Malaysia

 

YBhg. Dato’ Abu Samah Shabudin
Ketua Pegawai Eksekutif
Suruhanjaya Persaingan Malaysia

 

Ketua-Ketua Agensi KPDNKK

Ketua-Ketua Bahagian KPDNKK

 

Barisan Dif-dif Kehormat dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi

 

Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, Wakil-wakil media,

 

dan Para Hadirin yang saya Hormati Sekalian.

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

 

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Dato' Sri Alias Haji Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana sudi meluangkan masa bersama kita pada petang ini bagi menyokong usaha Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menjayakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara MyCC, Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan lima buah Institusi Pengajian Tinggi dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Taylor’s University.

Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran semua hadirin terutamanya pensyarah, pelajar dan wakil-wakil dari pihak universiti, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian dan agensi-agensi di bawah Kementerian serta wakil media yang sudi hadir ke majlis ini tanda sokongan terhadap usaha MyCC dalam menjayakan objektif Akta Persaingan 2010.

 

Para Hadirin yang di hormati sekalian,

 

Dengan berakhirnya tahun 2015, sudah genap empat tahun MyCC menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 sejak 1 Januari 2012. Semenjak tertubuhnya Suruhanjaya ini pada 1 April 2011, pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil oleh MyCC dalam membangunkan landskap persaingan di negara ini melalui aktiviti-aktiviti penguatkuasaan, advokasi dan pematuhan, kajian pasaran, penerbitan buku-buku panduan, pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan.

Saya selaku Pengerusi MyCC berbesar hati untuk melaporkan bahawa MyCC telah memberi penekanan bukan sahaja kepada sektor perniagaan, tetapi juga kepada masyarakat umum dan golongan pengguna termasuklah pihak institusi pengajian tinggi mengenai kepentingan pelaksanaan Akta Persaingan 2010. Dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap Akta Persaingan 2010 ini, MyCC telah menjalankan 45 program advokasi yang melibatkan sektor awam dan swasta sehingga Oktober 2015.

Pada bulan Mac 2015, sebanyak dua Keputusan Akhir telah diputuskan oleh MyCC terhadap Pengeluar Tiub Ais dan juga Persatuan Bakeri dan Manisan Sibu. Selain itu, MyCC turut memutuskan dua Keputusan Cadangan terhadap Container Depot Operators (CDO) di Penang pada Jun 2015 dan MyEG Services Berhad pada Oktober 2015. MyCC juga dimandatkan di bawah Akta Persaingan 2010 bagi menjalankan kajian pasaran untuk mengenalpasti elemen-elemen anti-persaingan dalam pasaran tertentu.  Pada tahun ini, MyCC sedang memberi komitmen sepenuhnya dalam menjalankan Kajian Pasaran bagi Sektor Farmaseutikal yang dijangka akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

 

Para Hadirin yang di hormati sekalian,

 

Penguatkuasaan dan penyiasatan kes-kes di bawah Akta Persaingan 2010 memerlukan kepakaran ekonomi dan perundangan yang tinggi. Namun kemungkinan juga ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa pelbagai jenis penyelidikan dan kajian yang perlu dijalankan oleh MyCC dalam menangani atau menyelesaikan aduan, kes ataupun permohonan pengecualian yang memerlukan penelitian dan maklumat dari pelbagai pihak yang boleh mengambil jangkamasa yang lama. Setiap aduan tidak diterima sewenangnya oleh MyCC tetapi perlu dikaji kesahihan menurut Akta. Oleh itu, usaha penyelidikan yang berterusan adalah amat perlu bagi MyCC. Buat masa ini, MyCC menggunakan pelbagai kerjasama serantau sama ada di peringkat ASEAN dan juga antarabangsa bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam dari pakar-pakar persaingan dari luar negara mengenai perkara-perkara teknikal dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010.

Justeru, saya berpendapat, dengan wujudnya kerjasama melalui Memorandum Persefahaman antara pihak MyCC dan juga enam institusi yang terlibat pada hari ini, ia secara tidak langsung akan dapat menggalakkan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan berkaitan dengan undang-undang persaingan di Malaysia. MyCC telah memperkenalkan Research Grant Programme sejak tahun 2012 bagi menggalakkan lebih ramai pakar penyelidik menghasilkan kajian-kajian penyelidikan dalam jangkamasa pendek mengenai dasar dan undang-undang persaingan. Ini sedikit sebanyak dapat membantu MyCC dalam menjalankan penelitian terhadap aduan dan kes serta kerja-kerja yang melibatkan keputusan dasar dari aspek undang-undang persaingan.

Melalui kerjasama ini juga, para pensyarah dan pelajar akan berpeluang untuk  meningkatkan pengetahuan dan memperkayakan pengalaman mereka mengenai pelaksanaan Akta Persaingan 2010 melalui program sangkutan jangkamasa pendek untuk para pensyarah di MyCC, latihan industri untuk para pelajar di MyCC, mengadakan latihan dan program advokasi di antara dua pihak serta membangunkan subjek atau modul mengenai undang-undang persaingan di Malaysia. 

Untuk makluman, modul dan subjek undang-undang persaingan telah lama diperkenalkan oleh universiti-universiti di peringkat antarabangsa seperti Melbourne Law Masters on Competition and Consumer Law oleh The University of Melbourne, Australia. Manakala di United Kingdom pula, King’s College London telah lama memperkenalkan Law Masters in Competition Law. Saya difahamkan di Malaysia juga, beberapa Universiti telah mula memperkenalkan subjek persaingan sebagai salah satu subjek elektif sama ada di peringkat ijazah dan terdapat juga beberapa universiti yang sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan di peringkat Senat masing-masing bagi memperkenalkan modul persaingan. Langkah-langkah seperti ini akan dapat membantu MyCC dalam mewujudkan golongan pakar dan membina kapasiti yang berkepakaran dan berpengetahuan tinggi dalam bidang persaingan di Malaysia.

Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KPDNKK dan juga para hadirin yang hadir di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan. Saya yakin dengan kerjasama secara berterusan seperti ini, kita akan dapat mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing di peringkat global.

 

Wabillahitaufikwalhidayah , w.b.t. wassalamualikum.