Selaras dengan Seksyen 5 Akta Persaingan 2010, pelepasan liabiliti di bawah peruntukan ini boleh diberikan oleh MyCC dengan cara yang berikut atau sebaliknya ia dianggap melanggar Akta:
- Pengecualian Individu di bawah seksyen 6 Akta; atau
- Pengecualian Blok di bawah seksyen 8 Akta.
Pengecualian Individu
Perusahaan boleh memohon kepada MyCC untuk suatu pengecualian individu berkenaan dengan suatu perjanjian tertentu daripada Bab 1 Larangan yang boleh diberikan oleh MyCC tertakluk kepada syarat dan obligasi, bagi suatu tempoh terhad.
Suatu pengecualian individu boleh dibatalkan atau diubah jika terdapat perubahan material pada hal keadaan atau ada pelanggaran atau tidak mematuhi syarat yang dikenakan.
Pengecualian Blok
MyCC boleh memberikan pengecualian blok kepada kategori perjanjian tertentu . Sebagai contoh, perjanjian pengedaran dalam industri tertentu. Kelebihan pengecualian blok adalah dimana perjanjian yang serupa boleh dinilai serentak yang membolehkan MyCC memberikan penilaian keseluruhan yang lebih baik mengenai kesan antipersaingan dan penilaian terhadap faedah yang diperoleh dan juga akan melepaskan perusahaan daripada perlu mengemukakan permohonan berasingan.
Sepertimana pengecualian individu, pengecualian blok boleh dibatalkan jika terdapat perubahan material pada hal keadaan atau ada pelanggaran atau tidak mematuhi syarat yang dikenakan.
Sebelum memberikan pengecualian blok, MyCC akan menyiarkan butir-butir pengecualian blok yang dicadangkan dan memberikan sekurang-kurangnya tiga puluh hari dari tarikh penyiaran untuk membenarkan penghujahan yang akan dibuat oleh orang awam. MyCC juga akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada apa-apa penghujahan yang dibuat.
Pemohon mungkin ingin menjalankan latihan penilaian kendiri bagi menentukan sama ada permohonan itu diperlukan. Sesiapa yang ragu tentang bagaimana mereka dan aktiviti komersil mereka mungkin terjejas oleh Akta boleh mendapatkan nasihat undang-undang.