KUALA LUMPUR, 8 JULAI 2025 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (“MyCC”), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (“KPDN”), telah mengeluarkan Keputusan Pelanggaran pada 7 Julai 2025 terhadap tiga (3) perusahaan kerana melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana terlibat dalam kartel tipuan bida yang melibatkan enam (6) tender yang dikeluarkan oleh Perbadanan Putrajaya (“PPj”) antara tahun 2018 dan 2021 yang bernilai RM44,845,284.80. Tiga perusahaan tersebut ialah Abadi Malaysia Sdn. Bhd. (Abadi Malaysia), Kota Lanskap Sdn. Bhd. (Kota Lanskap) dan Usia Maintenance Sdn. Bhd. (Usia Maintenance) (“secara kolektifnya dirujuk sebagai Perusahaan”).
Butiran tender yang terlibat adalah seperti berikut:
Bil. | Butiran Tender | Nilai |
---|---|---|
1. | Tender Kerja Penyelenggaraan Pokok Ameniti di Putrajaya. (2018) [Tender 1] | RM8,899,999.00 |
2. | Tender Kerja Penyelenggaraan di Kompleks Kejiranan, Presint 11, Putrajaya. (2018) [Tender 2] | RM6,996,280.00 |
3. | Tender Kerja Penyelenggaraan Landskap Jalan-Jalan Protokol di Putrajaya. (2019) [Tender 3] | RM8,803,440.00 |
4. | Tender Kerja Penyelenggaraan Taman Wawasan dan Taman Pancarona di Putrajaya. (2019) [Tender 4] | RM6,948,130.00 |
5. | Tender Kerja Penyenggaraan Landskap di Kompleks Kejiranan Presint 7, 8 ,9 dan 11, Putrajaya. (2019) [Tender 5] | RM5,922,000.00 |
6. | Tender Kerja Penyelenggaraan Sistem Perparitan Utama, GPT dan Kolam-Kolam Tadahan di Putrajaya. (2021) [Tender 6] | RM7,275,435.80 |
Jumlah Keseluruhan | RM44,845,284.80 |
Penyiasatan dan Keputusan
Susulan daripada aduan mengenai aktiviti tipuan bida melibatkan beberapa projek berkaitan penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, landskap serta kerja kejuruteraan awam di Putrajaya, MyCC telah menjalankan penilaian awal dan mengenal pasti 9 perusahaan yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida. Siasatan penuh kemudiannya dijalankan, termasuk serbuan ke atas premis perusahaan-perusahaan terlibat, pengambilan pernyataan daripada 24 individu, permohonan maklumat serta analisis bukti-bukti yang berkaitan.
Hasil daripada siasatan tersebut, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap Perusahaan terbabit pada 10 September 2024 dan telah menerima representasi mereka pada 11 November 2024 dan 13 Mac 2025. Setelah meneliti representasi tersebut secara menyeluruh, MyCC mendapati bahawa Perusahaan terbabit telah melanggar Akta 712 dan seterusnya mengeluarkan Keputusan Pelanggaran terhadap Perusahaan tersebut pada 7 Julai 2025.
Tingkah Laku Kartel oleh Perusahaan Terlibat
Modus operandi tipuan bida tersebut telah dikoordinasi oleh Abadi Malaysia. Siasatan mendapati bahawa penyelarasan untuk membida tender oleh perusahaan-perusahaan terlibat telah dilakukan melalui perkongsian maklumat menerusi WhatsApp, emel dan beberapa mesyuarat. MyCC juga mendapati bahawa dokumen tender telah disediakan oleh pekerja daripada ketiga-tiga perusahaan di satu lokasi yang sama di bawah penyelarasan Abadi Malaysia, iaitu melalui salah seorang pengarah syarikat terlibat. Modus operandi ini telah digunakan oleh kumpulan kartel ini di dalam kesemua enam projek.
Tambahan pula, semasa serbuan dijalankan, MyCC telah menemui dokumen milik semua perusahaan di premis Kota Lanskap, yang menunjukkan wujudnya penyelarasan secara berpusat antara Perusahaan berkaitan penyediaan dokumen tender. Pakatan ini telah menyebabkan Usia Maintenance dan Abadi Malaysia masing-masing memenangi Tender 1 dan Tender 5. Namun begitu, mereka tetap didapati bersalah bagi 4 tender yang selebihnya kerana bukti menunjukkan tingkah laku kartel dalam keempat-empat tender tersebut. Bagi Kota Lanskap, MyCC mendapati syarikat tersebut menunjukkan tingkah laku kartel yang sama sepanjang keseluruhan proses penyediaan dan penghantaran dokumen tender untuk kesemua 6 tender.
Penalti Kewangan
Akta 712 memberi kuasa kepada MyCC untuk mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10% pusing ganti seluruh dunia Perusahaan yang terlibat. Berdasarkan pengiraan yang dibuat oleh MyCC, dengan mengambil kira faktor pemberatan dan mitigasi, (aggravating and mitigating factor) Perusahaan terbabit telah dikenakan penalti kewangan sebanyak RM2,977,015.15, seperti berikut:
Syarikat | Jumlah (RM) |
---|---|
Abadi Malaysia Sdn. Bhd. | 1,587,951.59 |
Kota Lanskap Sdn. Bhd. | 614,508.28 |
Usia Maintenance Sdn. Bhd. | 774,555.28 |
Jumlah Keseluruhan | 2,977,015.15 |
“Keputusan Pelanggaran ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha berterusan Suruhanjaya untuk menegakkan prinsip ketelusan, keadilan dan integriti dalam proses perolehan awam. Amalan tipuan bida mencemarkan kepercayaan terhadap pasaran, membazirkan sumber awam dan akhirnya menjejaskan kepentingan orang ramai. Suruhanjaya memandang serius terhadap tingkah laku sedemikian dan akan terus menggunakan segala kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk memastikan pihak yang bersalah dikenakan tindakan yang sewajarnya.” kata Datuk Haji Iskandar bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.
“Kami menyeru semua pemain pasaran untuk mengambil iktibar daripada kes ini dan memperbaharui komitmen mereka terhadap amalan perniagaan yang beretika. Setiap perniagaan mesti bersaing berdasarkan merit dan bukannya melalui pakatan sulit, manakala organisasi awam dan swasta pula harus sentiasa berwaspada terhadap tanda-tanda tingkah laku antipersaingan dalam pelaksanaan proses perolehan mereka. Kami juga menggesa orang awam dan semua pihak berkepentingan yang mungkin mengesan tingkah laku tipuan bida yang mencurigakan untuk tampil ke hadapan dan melaporkan perkara tersebut kepada MyCC. Setiap laporan, walaupun kelihatan kecil, boleh menyumbang kepada usaha memelihara persaingan dan menghalang perlakuan yang tidak boleh diterima ini yang kami anggap sebagai kejahatan tertinggi dalam undang-undang persaingan.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Bahagian Polisi dan Komunikasi
Telefon Bimbit: +6019 269 6037
Emel: [email protected]
Mengenai Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Ditubuhkan pada April 2011 melalui Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, Suruhanjaya Persaingan ialah satu badan bebas bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk melindungi proses persaingan yang seterusnya akan merangsang produktiviti, keusahawanan yang berterusan dan inovasi dalam kalangan perusahaan, lantas mewujudkan pilihan produk atau servis yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.
Akta 712 ini terpakai kepada semua aktiviti perdagangan yang dijalankan di dalam dan di luar Malaysia yang memberi kesan kepada persaingan dalam pasaran Malaysia. Ia menyediakan kerangka pengawalseliaan termasuk kuasa untuk menyiasat, menghakimi, dan mengenakan hukuman kepada pelaku-pelaku yang melanggar undang-undang persaingan.
MyCC telah menyambut ulangtahun yang ke-14 pada 1 April 2025 dan sehingga kini, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap lebih daripada 200 syarikat berkaitan dengan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan yang telah dengan jumlah keseluruhan penalti kewangan yang telah dikenakan melebihi RM667 juta. Keutamaan semasa MyCC adalah termasuk meminda Akta untuk memperkenalkan rejim kawalan penggabungan, menumpukan usaha kepada kartel tipuan bida, kartel dalam sektor makanan dan pertanian, serta menangani cabaran yang dihadapi oleh perundangan dan dasar persaingan berikutan ekonomi digital. Untuk maklumat lanjut mengenai MyCC, sila layari laman sesawang www.mycc.gov.my.