KUALA LUMPUR, 15 APRIL 2025 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap 22 perusahaan kerana terlibat dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan pusat penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor. Perusahaan-perusahaan tersebut, pada peringkat keputusan cadangan ini, didakwa telah melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Melalui penyiasatan MyCC, bukan sahaja terdapat cadangan untuk menaikkan yuran perkhidmatan penjagaan kanak-kanak telah dibincangkan, malah cadangan itu dipersetujui oleh kesemua perusahaan itu dalam satu mesyuarat persatuan. Keputusan tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada semua ahli persatuan dan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak yang lain melalui pengedaran satu pekeliling. MyCC mendapati bahawa tindakan ini bertujuan untuk menghalang dan menyekat persaingan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.
Perlu ditekankan di sini bahawa Keputusan Cadangan yang dikeluarkan oleh MyCC adalah masih pada peringkat dapatan awal. Maka, tidak boleh diandaikan bahawa mana- mana perusahaan yang dinyatakan dalam Keputusan Cadangan ini secara konklusifnya telah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.
Seperti yang diperuntukkan dalam Akta 712, kesemua perusahaan yang dinamakan dalam Keputusan Cadangan ini telah dimaklumkan semalam mengenai penalti dan arahan yang dicadangkan oleh MyCC. Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan. Selepas itu, perusahaan-perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan.
Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia