SEOUL, 3 SEPTEMBER 2025 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea (KFTC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang penguatkuasaan dan dasar undang-undang persaingan. Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung semasa Forum Persaingan Antarabangsa Seoul ke-13 diadakan di The Shilla Seoul, Korea Selatan.
Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun, Pengerusi MyCC telah menandatangani bagi pihak MyCC manakala Dr. Kijeong Han, Pengerusi KFTC telah menandatangani bagi pihak KFTC. Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC dan Encik Dongryeul Shin, Ketua Pengarah KFTC.
MoU ini menyediakan kerangka kerjasama antara kedua-dua agensi yang merangkumi pertukaran maklumat tidak sulit mengenai perkembangan perundangan dan kes, kerjasama teknikal bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, pertemuan bersama pakar serta penyertaan dalam acara antarabangsa yang berkepentingan bersama. Kedua-dua agensi juga bersetuju untuk saling menyokong inisiatif kerjasama antarabangsa yang berkaitan dengan amalan anti-persaingan rentas sempadan.
Kerjasama ini mencerminkan visi dan komitmen antara MyCC dan KFTC dalam membina rejim penguatkuasaan yang berdaya tahan serta memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang undang-undang dan dasar persaingan. Ia membolehkan Malaysia memperoleh manfaat daripada pengalaman luas Korea Selatan dalam kawalan percantuman sebagai persediaan untuk memperkenalkan rejimnya sendiri menjelang tahun 2026.
“KFTC ditubuhkan pada tahun 1981 dan telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah agensi persaingan terkemuka di Asia, malah di peringkat dunia. Kerjasama antara MyCC dan KFTC telah bermula beberapa tahun lalu. Pada tahun 2019, KFTC telah menghantar pakar mereka ke MyCC di bawah Expert Dispatch Program, di mana MyCC telah memperoleh pengetahuan terkini berkenaan amalan tipuan bida dan kawalan percantuman. MoU ini merupakan langkah seterusnya yang wajar dalam meneruskan kerjasama ini. Melalui kerjasama ini, MyCC berharap dapat memanfaatkan pengalaman serta kepakaran luas KFTC sambil turut menyumbangkan perspektif kami sendiri. Melalui kerjasama ini, kita dapat memajukan dasar persaingan bukan sahaja dalam bidang kuasa masing-masing, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun, Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).