MyCC KENAKAN PENALTI TERHADAP 8 PERUSAHAAN TERLIBAT KARTEL TIPUAN BIDA

KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2025 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah mengeluarkan Keputusan Pelanggaran terhadap lapan (8) perusahaan semalam iaitu pada 27 Februari 2025 kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan terlibat dalam kartel tipuan bida yang melibatkan dua (2) tender yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu CENTRAL SPINE ROAD; Pakej 3: Gua Musang Kelantan ke Kg Relong, Kuala Lipis Pahang Seksyen 3B dan 3C KM 180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang (TENDER CSR: 3B & 3C) dan CENTRAL SPINE ROAD; Pakej 3: Gua Musang Kelantan ke Kg Relong, Kuala Lipis Pahang Seksyen 3J Kampung Seberang Jelai ke Kg Relong (TENDER CSR: 3J) dan satu (1) tender di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan (TENDER RTB: SG BULOH) yang dianggarkan bernilai sekitar RM474 juta pada tahun 2019.

Perusahaan yang terlibat dalam pelanggaran ini adalah seperti berikut:

PERUSAHAAN BIL. TENDER MAKLUMAT TENDER
Dutamesra Bina Sdn. Bhd. 3
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
  • RTB Sg Buloh
IDX Multi Resources Sdn. Bhd. 3
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
  • RTB Sg Buloh
Mangkubumi Sdn. Bhd. 3
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
  • RTB Sg Buloh
Menang Idaman Sdn. Bhd. 3
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
  • RTB Sg Buloh
Meranti Budiman Sdn. Bhd. 3
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
  • RTB Sg Buloh
Pintas Utama Sdn. Bhd. 3
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
  • RTB Sg Buloh
NYL Corporation Sdn. Bhd. 2
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
Kiara Kilat Sdn. Bhd. 1
  • CSR 3B & 3C
  • CSR 3J
  • RTB Sg Buloh

 

Garis Masa Penyiasatan, Representasi dan Keputusan
MyCC telah memulakan penyiasatan rasmi susulan aduan mengenai tipuan bida dalam tender CSR: 3B & 3C dan CSR: 3J. Semasa penyiasatan terhadap kedua-dua tender ini, MyCC mendapati perusahaan yang sama juga terlibat dalam tipuan bida bagi tender RTB: SG BULOH. Dalam hal ini, MyCC telah menjalankan serbuan, mengumpul maklumat dan menjalankan analisis mendalam terhadap bukti-bukti yang berkaitan. Pada 22 April 2024, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap 8 perusahaan yang terlibat dan menerima representasi mereka. Setelah meneliti semua representasi yang dikemukakan, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Pelanggaran terhadap semua 8 perusahaan tersebut pada 27 Februari 2025.

Tingkah Laku Kartel oleh Perusahaan Terlibat

Melalui penyiasatan yang dijalankan, MyCC mendapati bahawa modus operandi kumpulan kartel ini didalangi oleh Mangkubumi Sdn. Bhd. (Mangkubumi) dan operasi dijalankan secara berpusat di Pintas Utama Sdn. Bhd. (Pintas Utama). Malah, semasa serbuan dilakukan oleh MyCC, hampir semua bukti utama ditemui di premis Pintas Utama.

Penyiasatan mendapati bahawa percaturan untuk membida tender dilakukan melalui perkongsian maklumat melalui emel, mesyuarat dan penyediaan dokumen tender secara fizikal di premis Pintas Utama. Modus operandi ini digunakan oleh kumpulan kartel tersebut yang melibatkan ketiga-tiga projek.

MyCC juga mendapati bahawa selepas IDX Multi Resources Sdn. Bhd. (IDX Multi Resources) dianugerahkan projek Tender CSR: 3B & 3C, manakala Menang Idaman dianugerahkan projek Tender CSR: 3J, kedua-duanya telah subkontrak kedua-dua tender itu kepada Mangkubumi. Berdasarkan percaturan ini, Mangkubumi bertindak sebagai kontraktor utama bagi pihak IDX Multi Resources dan Menang Idaman yang seterusnya telah subkontrak tender tersebut kepada sebuah lagi perusahaan iaitu YCH Sdn. Bhd. (YCH). Namun, bagi Tender RTB: SG BULOH, MyCC mendapati bahawa IDX Multi Resources, setelah dianugerahkan tender tersebut, telah subkontrak projek tersebut terus kepada YCH.

Penalti Kewangan

Akta 712 membenarkan MyCC untuk mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10% pusing ganti seluruh dunia perusahaan yang terlibat. Berdasarkan pengiraan yang dibuat oleh MyCC, dengan mengambil kira faktor pemberatan dan mitigasi, (aggravating and mitigating factor) perusahaan-perusahaan yang terlibat telah dikenakan penalti kewangan sebanyak RM92,876,078.90 seperti yang dinyatakan di bawah:

PERUSAHAAN JUMLAH TENDER PENALTI KEWANGAN
Dutamesra Bina Sdn. Bhd. 3 RM 6,627,658.75
IDX Multi Resources Sdn. Bhd. 3 RM 6,053,100.33
Mangkubumi Sdn. Bhd. 3 RM 21,860,697.39
Menang Idaman Sdn. Bhd. 3 RM 2,668,261.30
Meranti Budiman Sdn. Bhd. 3 RM 3,528,292.70
Pintas Utama Sdn. Bhd. 3 RM 48,635,588.42
NYL Corporation Sdn. Bhd. 2 RM 113,087.91
Kiara Kilat Sdn. Bhd. 1 RM 3,389,392.10
JUMLAH BESAR RM 92,876,078.90

 

Dalam ucapan Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 2024, kerajaan telah mengumumkan peruntukan tambahan kepada MyCC yang menjadikan bajet MyCC sebanyak RM27 juta dengan objektif memperkasakan MyCC dalam membanteras kartel di Malaysia. Selaras dengan mandat ini dan semangat Malaysia MADANI, MyCC bertekad untuk terus menghapuskan amalan kartel, khususnya tipuan bida yang merosakkan integriti perolehan awam.

"Tipuan bida mengganggu proses perolehan lantas meningkatkan kos yang akhirnya membebankan rakyat dan juga kerajaan. Oleh itu, selain keputusan yang diumumkan hari ini, MyCC sedang giat menyiasat 13 kartel tipuan bida yang melibatkan 561 perusahaan berkaitan tender bernilai RM2.37 bilion. Pada masa yang sama, MyCC juga sedang menilai aduan yang membabitkan 463 perusahaan dalam tender bernilai RM9.27 bilion,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

“Kartel merupakan kejahatan tertinggi di mata perundangan persaingan. Dalam usaha membanteras kartel tipuan bida ini, MyCC memuji dan menghargai kerjasama serta komitmen Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam berdiri teguh bersama kami menentang kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini. Kami menyeru kementerian dan agensi lain untuk mencontohi langkah ini. Sekiranya mereka mengesyaki terdapat elemen tipuan bida dalam proses tender mereka, kami menyeru agar mereka tampil ke hadapan dan bekerjasama dengan kami,” tambah Iskandar lagi.