MyCC LANCAR RUNDINGAN AWAM SUSULAN PENILAIAN AWAL PENGECUALIAN BLOK BAGI PERJANJIAN PERKONGSIAN VESEL BERKAITAN PERKHIDMATAN PELAYARAN TETAP MELALUI PENGANGKUTAN LAUT

KUALA LUMPUR, 27 MEI 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini telah menerbitkan penilaian awal mengenai permohonan pengecualian blok bagi perjanjian perkongsian vesel (VSA) berkenaan dengan perkhidmatan pelayaran tetap melalui pengangkutan laut. Ini berikutan perintah pengecualian blok ini akan tamat pada 6 Julai 2025. Penilaian awal yang dijalankan oleh MyCC adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Persaingan 2010 (AKTA 712).

Setelah melaksanakan penilaian awal bagi pengecualian blok ini, MyCC melancarkan sesi rundingan awam dalam talian untuk tempoh tiga puluh (30) hari bermula 27 Mei hingga 25 Jun 2025. Sesi rundingan awam ini sejajar dengan peruntukan di bawah undang-undang persaingan.

Pihak berkepentingan dan orang ramai adalah dijemput untuk memberikan maklum balas terhadap permohonan pengecualian blok yang terkandung dalam dokumen rundingan awam tersebut. Dalam permohonan pengecualian blok ini, pemohon telah meminta supaya tempoh pengecualian blok VSA dilanjutkan untuk tempoh lima (5) tahun.

“Maklum balas orang awam amat penting dalam proses penilaian kami, dan kami menggalakkan semua pihak berkepentingan memberikan maklum balas secara bertulis berhubung permohonan pengecualian blok VSA ini. Orang ramai yang berminat untuk memberi maklum balas boleh layari laman www.mycc.gov.my atau hubungi kami melalui emel secretariat [email protected],” kata Encik Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.

Permohonan pengecualian blok VSA terpakai kepada perkhidmatan pelayaran yang disediakan oleh pengendali kapal dalam pengangkutan laut dan tidak akan termasuk sebarang pengangkutan barang darat yang merupakan sebahagian daripada pengangkutan termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia logistik, penghantar, pengendali depot, pemandu lori, pengendali kereta api, penyedia perkhidmatan kemudahan luar dok, dan penyedia perkhidmatan luar dok dan pergudangan, sama ada entiti tersebut bergabung atau tidak dengan pengendali kapal.

Untuk memberikan maklum balas, sila layari pautan berikut:
Tempoh: 27 Mei 2025 – 25 Jun 2025
Pautan: Maklum Balas Rundingan Awam 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mycc.gov.my.