TINDAKAN TEGAS TERHADAP PERSATUAN YANG GALAKKAN KARTEL

KUALA LUMPUR, 21 DISEMBER – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melahirkan rasa kesal terhadap tindakan terkini beberapa persatuan yang mengumumkan kenaikan harga atau menetapkan harga minima perkhidmatan atau barangan termasuk mengenakan syarat perdagangan baru yang didapati memberi kesan negatif secara langsung kepada kos sara hidup rakyat. Perkara ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan sektor-sektor penting antaranya pengangkutan, perkhidmatan jagaan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat.

MyCC memandang serius akan perilaku persatuan-persatuan yang galak membuat pengumuman kenaikan harga atau harga minima atau syarat perdagangan baru terutamanya melalui media tanpa memikirkan impak yang menambahkan lagi cabaran kelangsungan hidup rakyat. Pengumuman sebegini boleh dikategorikan sebagai suatu perjanjian antipersaingan atau kartel kerana ia mencerminkan suatu keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang pada masa sama merupakan pesaing-pesaing dalam industri. Ia juga boleh dikategorikan sebagai isyarat daripada persatuan kepada ahli-ahlinya dalam menyebar luas keputusan yang telah ditetapkan dengan tujuan untuk memastikan ahli-ahli menjayakan perlakuan kartel secara bersepadu.

MyCC mengambil maklum bahawa berlakunya peningkatan kos perniagaan di dalam dan luar Malaysia. Walau bagaimanapun, dalam usaha perusahaan-perusahaan mencari penyelesaian kepada peningkatan kos perniagaan, mereka tidak boleh mengambil jalan mudah dengan bersekongkol untuk menaikkan harga atau menetapkan harga minima atau mengenakan syarat perdagangan baru yang akan menaikkan harga. Keputusan sedemikian sepatutnya dilakukan secara bebas dan tanpa arahan atau keputusan Persatuan. Mereka tidak boleh berselindung di sebalik jawatan-jawatan persatuan mereka atau keahlian mereka di dalam persatuan. Jawatan atau keahlian itu bukan satu lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel masing-masing.

MyCC telah banyak menyiasat ahli jawatankuasa serta ahli-ahli persatuan dan didapati mereka menggunakan platform persatuan untuk menggalakkan pembentukan kartel di kalangan mereka. Baru-baru ini, MyCC telah mengenakan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta terdapat 5 syarikat pengeluar makanan ayam dan salah satu bukti yang diperolehi melalui penyiasatan MyCC adalah mereka menggunakan platform Malaysian Feedmillers Association untuk mereka berkumpul lantas memulakan serta memperkukuhkan lagi perlakuan kartel mereka melalui pertukaran maklumat tentang kos dan harga.

Justeru, MyCC ingin memaklumkan bahawa pihaknya sudah membuka beberapa kertas penyiasatan terhadap beberapa persatuan serta ahli jawatankuasa termasuk ahli-ahli persatuan yang disyaki terlibat dalam perlakuan kartel. Maklumat di lapangan yang diperolehi daripada saluran media utama dan platform sosial media menunjukkan bahawa ada persatuan, melalui ketua mereka, cuba mengaburi mata rakyat dengan menyatakan pengumuman kenaikan itu hanyalah jangkaan kenaikan untuk masa hadapan atau harga panduan walhal pengumuman itu sebenarnya adalah hasil keputusan persatuan yang berbaur kartel. MyCC juga tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana mereka sedar perkara tersebut melanggar perundangan persaingan.

MyCC kekal komited, tanpa gentar atau pilih kasih, untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan wujudnya persaingan sihat dalam pasaran. Tindakan MyCC akan ditumpukan kepada mana-mana perusahaan tidak kira besar atau kecil selagi mereka menunjukkan perilaku atau elemen kartel. Melalui pindaan Akta Persaingan 2010 yang akan dibentangkan pada awal tahun depan, kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC akan diperkasakan lagi untuk memastikan perilaku sabotaj ekonomi seperti ini ditangani dengan lebih efektif melalui penalti yang lebih berat.

MyCC mengalu-alukan kerjasama daripada ahli jawatankuasa atau ahli-ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan persatuan yang mengamalkan perlakuan kartel serta orang awam termasuk agensi-agensi Kerajaan yang mempunyai maklumat mengenai sebarang cubaan atau tindakan yang menjurus kepada pembentukan kartel oleh persatuan-persatuan di bawah seliaan mereka. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui saluran rasmi iaitu https://www.mycc.gov.my/bm/membuat-aduan atau emel ke [email protected] untuk tindakan lanjut. Pengadu juga dialu-alukan untuk menggunakan saluran alternatif seperti surat, panggilan telefon atau memfailkan aduannya di pejabat MyCC. MyCC menjamin kerahsiaan pengadu dan pemberi maklumat.

Tan Sri Dato' Sri Idrus bin Harun
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia