31 PERUSAHAAN PERKHIDMATAN PENJAGAAN KANAK-KANAK BAKAL BERDEPAN DENGAN PENALTI AKIBAT DAKWAAN KARTEL PENETAPAN HARGA

KUALA LUMPUR, 29 DISEMBER 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap 31 perusahaan atas penglibatan mereka dalam kartel penetapan harga berkaitan dengan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negeri Kelantan. Sebanyak 31 perusahaan tersebut didapati, pada peringkat yang dicadangkan, telah melanggar seksyen 4(1) dibaca bersama seksyen 4(2)(a) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712].

Melalui penyiasatan MyCC, ia didapati bahawa perusahaan-perusahaan tersebut bukan sahaja telah berbincang, malah akhirnya bersetuju dengan cadangan untuk menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak semasa mesyuarat persatuan yang diadakan pada September 2023. Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut kemudiannya disampaikan kepada semua pihak yang hadir melalui satu memorandum. Susulan mesyuarat tersebut, satu pengumuman awam turut dibuat melalui akaun Facebook rasmi persatuan yang menyatakan bahawa para pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak telah sebulat suara bersetuju untuk menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkuat kuasa mulai tahun 2024. MyCC mendapati bahawa perjanjian tersebut mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negeri Kelantan.

Adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, Keputusan Cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan- perusahaan ini telah melanggar Akta 712 secara konklusif.

Perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan. Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian. MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan.

Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia