DAKWAAN MENGELIRUKAN BERHUBUNG JANGKAAN PERINTAH PENGECUALIAN BLOK BAGI PERJANJIAN PERKONGSIAN VESEL (VSA)

KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengambil maklum akan kebimbangan terkini yang dibangkitkan berhubung perkhidmatan perkapalan di Sabah. Namun begitu, MyCC dengan tegas menafikan dakwaan bahawa pengecualian blok bagi Perjanjian Perkongsian Kapal (VSA) telah membolehkan syarikat perkapalan dan pengendali dari Semenanjung Malaysia untuk berkomplot, menetapkan harga atau memonopoli perkapalan domestik antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Akta Persaingan 2010 secara jelas melarang perjanjian anti-persaingan termasuk penetapan harga dan penyalahgunaan kedudukan dominan. Larangan ini terpakai tanpa mengira lokasi perniagaan atau pendaftaran kapal, selagi aktiviti komersial memberi kesan kepada pasaran Malaysia.

Pengecualian di bawah Akta Persaingan 2010 ditakrifkan secara terhad dan mempunyai tempoh masa tertentu. Ia mestilah menunjukkan manfaat yang jelas serta boleh disahkan kepada pengguna dan ekonomi yang mengatasi sebarang potensi kemudaratan. Pengecualian tersebut bukanlah kebenaran menyeluruh untuk berkomplot atau menetapkan harga melebihi apa yang benar-benar diperlukan bagi tujuan pengecualian.

Sejak tahun 2014, MyCC telah memberikan pengecualian blok bagi perjanjian perkapalan liner yang merangkumi Perjanjian Perbincangan Sukarela (VDA) dan VSA. Namun, berkuatkuasa pada 7 Julai 2019, pengecualian bagi VDA telah dimansuhkan berikutan penamatan global VDA. Pengecualian blok terkini yang meliputi VSA telah diwartakan pada 7 Julai 2022 dan kekal berkuatkuasa sehingga 6 Julai 2025.

VSA adalah kerjasama antara pengendali perkapalan liner yang terhad kepada aspek operasi seperti penyelarasan perkhidmatan kapal atau pertukaran ruang kapal. Pengecualian ini dengan jelas melarang sebarang perbincangan atau persetujuan mengenai caj tambang atau harga.

Tiada sebarang bukti yang mengaitkan pengecualian VSA dengan peningkatan kos perkapalan. Kenaikan kadar tambang perkapalan yang diperhatikan sepanjang tahun 2021 hingga 2022 terutamanya adalah berpunca daripada faktor global, termasuk gangguan rantaian bekalan akibat COVID-19, kekurangan kapal pasca pandemik, kenaikan mendadak harga bahan api bunker akibat ketegangan geopolitik, serta kerja-kerja naik taraf infrastruktur utama yang menjejaskan kos perkapalan di seluruh dunia.

Analisis MyCC menunjukkan bahawa pasaran perkapalan Sabah kekal kecil, dengan jumlah kontena yang dikendalikan di pelabuhan Sabah hanya menyumbang 1.7% daripada jumlah keseluruhan negara bagi tempoh 2015 hingga 2024. Pada tahun 2023, pelabuhan Sabah telah merekodkan 817 panggilan kapal kontena, di mana 74.9% daripadanya adalah kapal pengumpan domestik, sekali gus menekankan kepentingan syarikat perkapalan tempatan dalam mengekalkan perkhidmatan di Sabah.

Selain itu, Persekutuan Penghantar Kargo Malaysia (FMFF) yang turut dianggotai oleh Persatuan Penghantar Kargo dan Logistik Sabah, menyokong kesinambungan pengecualian VSA melalui penyerahan rasmi bertarikh 6 Ogos 2025. MyCC juga telah melaksanakan rundingan awam antara 27 Mei hingga 2 Julai 2025, dan kemudiannya dilanjutkan melalui platform UPC di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dari 17 hingga 30 Julai 2025 untuk mendapatkan maklum balas tambahan daripada pihak berkepentingan. Selepas penutupan kedua-dua rundingan tersebut, MyCC tidak menerima sebarang penyerahan lain daripada pihak berkepentingan di Sabah selain daripada satu penyerahan melalui FMFF.

“MyCC akan terus berwaspada dan komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, pihak berkuasa pelabuhan serta Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan persaingan yang saksama dalam industri perkapalan dan melindungi kebajikan pengguna. Sebagai sebuah negara perdagangan, perkapalan adalah nadi kepada ekonomi dan MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat bukti berlakunya komplot atau penyalahgunaan kedudukan dominan di pasaran,” kata Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.