KUALA LUMPUR, 14 JANUARI 2026 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap dua (2) perusahaan atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida bagi Tender Pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Tender CSR) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya. Perusahaan-perusahaan ini didapati secara berperingkat telah melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 [Akta 712]. Tender yang terjejas melibatkan nilai perolehan sebanyak RM285 juta.
Melalui penyiasatan MyCC, perusahaan-perusahaan tersebut didapati telah bersetuju untuk terlibat dalam perkongsian maklumat yang diselaraskan dan pakatan dalam penyediaan serta penyerahan bidaan mereka. MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam berkaitan Tender CSR.
Adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan-perusahaan ini telah melanggar Akta 712 secara konklusif.
Perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan. Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian. MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan.
Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia