Enam Perusahaan Berdepan Dengan Penalti Akibat Dakwaan Kartel Tipuan Bida Bagi Tender Pembekalan Makanan

KUALA LUMPUR, 16 JUN 2026 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap enam (6) perusahaan atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida bagi satu (1) tender pembekalan makanan yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Perusahaan-perusahaan ini didapati secara berperingkat telah melanggar seksyen 4(1) dibaca bersama seksyen 4(2)(d) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712]. Tender yang terjejas melibatkan nilai perolehan sebanyak RM5.7 juta.

Melalui penyiasatan MyCC, perusahaan-perusahaan tersebut didapati telah terlibat dalam perkongsian maklumat dan berpakat dalam penyediaan bidaan mereka. MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam dalam pembekalan makanan mentah, segar dan kering.

Adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan-perusahaan ini telah melanggar Akta 712 secara konklusif.

Perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan. Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan.

UNTUK SIARAN SEGERA
MEJA BERITA / EKONOMI

Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia