KUALA LUMPUR, 12 SEPTEMBER – Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 September 2024 telah menolak permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan terhadap keputusan Dapatan Pelanggaran yang dikeluarkan oleh MyCC pada 2021 terhadap lima pengusaha gudang yang terlibat dalam kartel penetapan harga berkaitan perkhidmatan pengendalian muatan panjang dan muatan berat kargo import dan eksport di Pelabuhan Klang.
Pada tahun 2017, MyCC telah menyiasat tujuh pengusaha gudang berikutan penerimaan laporan terdapat kemungkinan aktiviti kartel penetapan harga yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan muatan panjang dan muatan berat kargo import dan eksport di Pelabuhan Klang. MyCC, setelah melengkapkan penyiasatannya, memutuskan bahawa tindakan pengusaha-pengusaha ini jelas melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dan mengeluarkan keputusan Dapatan Pelanggaran terhadap tujuh pengusaha gudang yang terlibat dalam kartel penetapan harga bermula dari Mei 2017 hingga Disember 2019. Penalti kewangan berjumlah RM1.043 juta telah dikenakan. Namun, hanya dua pengusaha gudang yang menerima keputusan tersebut. Lima pengusaha telah membantah keputusan MyCC yang membawa kepada peringkat Semakan Kehakiman ini dan Mahkamah telah menolak bantahan mereka. Semakan Kehakiman ini merupakan percubaan kali kedua oleh lima pengusaha untuk membatalkan keputusan itu. Rayuan pertama dibuat kepada Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) pada 2021 di mana TRP memihak kepada MyCC dengan menolak rayuan mereka.
Pemohon-pemohon Semakan Kehakiman adalah seperti berikut;
(i) SAL Agencies Sdn. Bhd;
(ii) WCS Warehousing Sdn. Bhd;
(iii) Regional Synergy (M) Sdn. Bhd;
(iv) Intrexim Sdn. Bhd; dan
(v) Pioneerpac Sdn. Bhd.
Dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Tribunal Rayuan Persaingan, mengesahkan bahawa pengusaha-pengusaha gudang ini telah terlibat dalam penetapan harga yang tidak sah lantas menolak permohonan Semakan Kehakiman mereka. Hakim tersebut iaitu Yang Arif Puan Jamhirah binti Ali memutuskan bahawa kelima-lima anggota kartel ini tidak berhak mendapat sebarang bentuk pelepasan dan mengesahkan kesahihan tindakan yang diambil oleh MyCC pada tahun 2021. Penghakiman yang sama menekankan bahawa tiada bukti ketidaksahihan, tidak rasional atau pelanggaran prosedur yang mewajarkan pembatalan keputusan MyCC. Oleh itu, keputusan MyCC pada 2021 untuk mengenakan penalti kewangan terhadap kartel gudang dikekalkan.
“Keputusan ini dapat memberi semangat terhadap usaha-usaha penguatkuasaan oleh MyCC dan menghantar mesej jelas bahawa MyCC tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kegiatan kartel. Ini juga mengukuhkan lagi komitmen MyCC untuk menghapuskan amalan kartel dan menjadi amaran kepada semua kartel di luar sana. Aktiviti kartel merupakan kejahatan tertinggi dalam undang-undang persaingan dan MyCC akan terus melawan serta bertindak tegas terhadap sebarang percubaan untuk menjejaskan persaingan pasaran yang sihat,” kata Encik Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.