MAHKAMAH TINGGI MENGESAHKAN KEPUTUSAN MyCC TERHADAP DAGANG NET

KUALA LUMPUR, 8 DISEMBER 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memperolehi kemenangan signifikan apabila Mahkamah Tinggi, pada 5 Disember 2025, menolak permohonan oleh Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. (Dagang Net) dalam semakan kehakimannya, sekaligus mengesahkan dapatan pelanggaran yang dikeluarkan oleh MyCC terhadap Dagang Net pada tahun 2021. Dapatan yang sama juga telah disahkan oleh Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) pada peringkat rayuan kes tersebut pada tahun 2023.

Kes ini bermula dengan penyiasatan MyCC terhadap perlakuan Dagang Net sebagai pembekal perkhidmatan tunggal kepada kerajaan bagi perkhidmatan fasilitasi perdagangan dalam talian di bawah National Single Window (NSW). Memandangkan peranan Dagang Net yang bersifat monopoli dalam sistem tersebut, MyCC telah mendapati Dagang Net telah menyalahgunakan kedudukan dominannya, sekali gus melanggar Seksyen 10(1) Akta Persaingan 2010 [Akta 712]. Penyalahgunaan tersebut berpunca daripada penggunaan klausa eksklusif ke atas pembekal perisian yang beroperasi dalam ekosistem NSW, yang telah menghadkan keupayaan mereka untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam sistem UCustoms dan dengan itu menyekat persaingan secara keseluruhan dalam pasaran berkaitan. Bagi tempoh perlanggaran antara Oktober 2015 hingga November 2017, MyCC telah mengenakan, antara lain, penalti kewangan sebanyak RM10.3 juta terhadap Dagang Net.

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Dagang Net telah mengemukakan rayuan kepada TRP. Setelah membuat penelitian menyeluruh, TRP menolak rayuan tersebut dan mengesahkan sepenuhnya dapatan MyCC, termasuk penalti kewangan yang dikenakan. Dagang Net kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan TRP.

Pada 5 Disember 2025, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan keputusan dengan menolak sepenuhnya permohonan semakan kehakiman Dagang Net, mengesahkan keputusan dapatan perlanggaran MyCC sekaligus mengekalkan keputusan TRP terhadap Dagang Net. Selain itu, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Dagang Net membayar kos sebanyak RM20,000. Keputusan ini mengiktiraf kredibiliti tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh MyCC.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini merupakan satu pengiktirafan yang bermakna terhadap usaha berterusan MyCC dalam menangani isu penyalahgunaan kedudukan dominan oleh mana-mana perusahaan yang mempunyai monopoli dalam pasarannya. Kes ini telah melalui liku perjalanan yang mencabar dan akhirnya mempamerkan kepentingan usaha MyCC dalam melindungi proses persaingan. Apabila persaingan disekat, peluang untuk membangun akan terlepas, inovasi akan terbantut dan rakyat Malaysia akhirnya yang akan menanggung kesannya. MyCC tidak akan berdiam diri apabila kelakuan sedemikian berlaku. Kami akan terus bertindak dengan tegas terhadap sebarang kelakuan yang mengancam persaingan yang sihat,” kata Datuk Haji Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.