KUALA LUMPUR, 13 OGOS 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini mengumumkan pelaksanaan konsultasi awam bagi deraf laporan akhir Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital. Inisiatif strategik ini, yang dijalankan di bawah seksyen 11 Akta Persaingan 2010 [Akta 712], menandakan satu perkembangan penting dalam usaha berterusan MyCC untuk memperkukuh amalan persaingan sihat dalam ekosistem digital dinamik negara. Kajian pasaran menyeluruh ini menilai potensi halangan terhadap persaingan berkesan dalam lima (5) sektor strategik utama:
(i) Mobile Operating and Payment Systems;
(ii) E-commerce (Retail Marketplace);
(iii) Digital Advertising Services;
(iv) Online Travel Agencies (OTAs); dan
(v) Data Privacy & Protection (Cross-cutting theme).
Hasil daripada proses libat urus meluas bersama pihak berkepentingan, termasuk kumpulan fokus, temu bual bersama agensi kerajaan, pemain industri dan persatuan, serta maklum balas bertulis yang diterima semasa konsultasi awam bagi Laporan Interim, MyCC telah mengenal pasti isu-isu kritikal berkaitan struktur pasaran, persaingan dan peraturan. Penemuan ini telah membentuk rangka cadangan komprehensif yang akan dikemukakan kepada pihak berkuasa kawal selia berkaitan untuk pertimbangan.
Objektif MyCC adalah jelas, dimana untuk memperkukuh ekosistem pasaran digital Malaysia secara bermakna demi manfaat segera dan jangka panjang. MyCC turut memberi penekanan terhadap cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pemula, dan mengesyorkan langkah-langkah konkrit serta praktikal bagi memastikan peluang persaingan yang sama rata untuk semua peserta pasaran. Sehubungan itu, semua pemain industri berkaitan termasuk perniagaan dan persatuan adalah diseru untuk hadir dan menyumbang pandangan pada sesi konsultasi awam ini. Ketetapan adalah seperti berikut:
Tarikh: 19 Ogos 2025 (Selasa)
Masa: 8.30 AM – 2.00 PM
Tempat: AICB Centre of Excellence, Kuala Lumpur Pendaftaran: https://forms.gle/JdHEwQ9VxXD1Sdwh8
Penyertaan adalah percuma dan pihak yang berminat adalah digalakkan untuk mendaftar selewat-lewatnya pada 18 Ogos 2025 bagi menjamin penyertaan anda. Untuk maklumat lanjut, layari www.mycc.gov.my atau hubungi secretariat; Bahagian Ekonomi Persaingan (BEP) di [email protected] atau di talian +603-3009 3009.