KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengambil serius berhubung laporan daripada pelbagai saluran media mengenai cadangan oleh beberapa persatuan pengamal perubatan swasta di Sarawak, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur untuk memperkenalkan caj baharu dalam perkhidmatan. Ini termasuk caj tambahan seperti caj preskripsi, yuran pendaftaran, caj pematuhan peraturan dan yuran kemudahan sama ada telah dilaksanakan atau sedang dipertimbangkan.
MyCC dengan tegas berpendirian bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh persatuan termasuk yang mewakili doktor atau pengamal perubatan am swasta (GP), untuk memperkenalkan caj tambahan ini boleh dianggap melanggar Akta Persaingan 2010 (Akta 712). Di bawah seksyen 4(2)(a) Akta 712, doktor atau pengamal perubatan am swasta diklasifikasikan sebagai “perusahaan” dan sebarang persetujuan antara perusahaan termasuk keputusan persatuan untuk menetapkan harga atau syarat dagangan boleh dianggap sebagai anti-persaingan. Tingkah laku sebegini dikategorikan sebagai pelanggaran yang serius yang lazimnya dirujuk sebagai aktiviti kartel dan adalah salah tanpa mengira sama ada perkara ini telah dilaksanakan atau hanya dipersetujui.
Apabila mana-mana persatuan atau pertubuhan bersetuju secara kolektif untuk memperkenalkan caj baharu, tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai satu perjanjian untuk menetapkan syarat dagangan. Begitu juga, sebarang cadangan harga sama ada mengikat atau tidak, boleh dianggap sebagai penetapan harga di bawah Seksyen 4 Akta 712.
Oleh itu, Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur (PMPASKL) serta Persatuan Pengamal Perubatan Pulau Pinang (PMPS) adalah diingatkan tentang kebarangkalian melanggar undang-undang tersebut.
MyCC dengan ini menggesa SPMPS untuk menarik balik nasihat yang dikeluarkan kepada ahlinya yang menggalakkan pelaksanaan caj-caj baharu. MyCC juga menyeru persatuan Private Medical Practitioners’ Association of Selangor and Kuala Lumpur (PMPASKL) dan Penang Medical Practitioners Society (PMPS) untuk tidak mengadakan mesyuarat atau mengambil sebarang langkah yang boleh membawa kepada keputusan kolektif untuk menetapkan caj atau memperkenalkan yuran secara seragam kerana tindakan tersebut boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Akta 712.
Di bawah Akta Persaingan 2010, jika sesuatu perusahaan didapati melanggar akta ini, MyCC boleh mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10 peratus daripada pusing ganti seluruh dunia perusahaan berkaitan sepanjang tempoh pelanggaran. MyCC tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tingkah laku anti-persaingan.
MyCC sedang memantau perkara ini dan menggesa semua pihak berkepentingan terutamanya dalam sektor perubatan untuk mematuhi sepenuhnya undang-undang persaingan. MyCC kekal teguh dalam misi untuk menegakkan persaingan yang kompetitif, sihat dan telus demi melindungi kebajikan pengguna dan integriti ekonomi Malaysia.
Tan Sri Dato' Sri Idrus bin Harun
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia
UNTUK SIARAN SEGERA
MEJA BERITA / EKONOMI
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Bahagian Polisi dan Komunikasi
Telefon Bimbit: +6019 269 6037
Emel: [email protected]
Mengenai Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Ditubuhkan pada April 2011 melalui Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, Suruhanjaya Persaingan ialah satu badan bebas bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk melindungi proses persaingan yang seterusnya akan merangsang produktiviti, keusahawanan yang berterusan dan inovasi dalam kalangan perusahaan, lantas mewujudkan pilihan produk atau servis yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.
Akta 712 ini terpakai kepada semua aktiviti perdagangan yang dijalankan di dalam dan di luar Malaysia yang memberi kesan kepada persaingan dalam pasaran Malaysia. Ia menyediakan kerangka pengawalseliaan termasuk kuasa untuk menyiasat, menghakimi, dan mengenakan hukuman kepada pelaku-pelaku yang melanggar undang-undang persaingan.
MyCC telah menyambut ulangtahun yang ke-14 pada 1 April 2025 dan sehingga kini, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap hampir 270 syarikat berkaitan dengan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan yang telah dengan jumlah keseluruhan penalti kewangan yang telah dikenakan melebihi RM664 juta.
Keutamaan semasa MyCC adalah termasuk meminda Akta untuk memperkenalkan rejim kawalan penggabungan, menumpukan usaha kepada kartel tipuan bida, kartel dalam sektor makanan dan pertanian, serta menangani cabaran yang dihadapi oleh perundangan dan dasar persaingan berikutan ekonomi digital.
Untuk maklumat lanjut mengenai MyCC, sila layari laman sesawang www.mycc.gov.my.