KUALA LUMPUR, 26 OGOS 2025 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjemput semua pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk memberikan maklum balas terhadap Deraf Akhir Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital yang dijalankan selaras dengan seksyen 11 Akta Persaingan 2010. Kajian strategik ini meneliti secara menyeluruh lima (5) bidang utama yang dikenal pasti sebagai pemacu penting kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi digital Malaysia:
(i) Pengendalian mudah alih dan sistem pembayaran
(ii) E-dagang (pasaran runcit)
(iii) Perkhidmatan pengiklanan digital atas talian
(iv) Agensi pelancongan atas talian (OTA)
(v) Privasi dan perlindungan data (dibincangkan dalam semua skop)
Susulan sesi konsultasi awam bersama pihak industri pada 19 Ogos 2025, serta sesi bersama wakil kementerian dan agensi kerajaan pada 20 Ogos 2025, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah membentangkan dapatan kajian pasaran yang komprehensif. Kajian tersebut mengenal pasti isu-isu persaingan utama, cabaran struktur pasaran serta pertimbangan dasar penting dalam usaha memperkukuh ekosistem ekonomi digital negara. Sepanjang sesi berkenaan, MyCC turut mengemukakan cadangan awal yang merangkumi aspek khusus dan umum, yang akan menjadi asas kepada pembangunan dasar pada masa hadapan ke arah mewujudkan ekosistem digital yang lebih adil, inovatif dan berdaya saing di Malaysia.
MyCC kini menjemput semua pemegang taruh untuk mengemukakan maklum balas terhadap cadangan awal yang terkandung dalam deraf laporan Akhir. Maklum balas ini amat penting bagi memastikan rangka kerja yang dicadangkan mencerminkan pelbagai perspektif daripada pihak pengawal selia, pemain industri dan orang awam, sekali gus memperkukuh landskap ekonomi digital Malaysia.
Semua maklum balas perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 14 September 2025 untuk dimasukkan sebelum pemuktamadan kajian pada Disember 2025.
Untuk maklumat lengkap berkenaan kajian pasaran dan proses konsultasi, pihak yang berminat boleh mengakses Deraf Laporan Akhir dan dokumen berkaitan melalui laman web rasmi MyCC di www.mycc.gov.my. Pemegang taruh boleh menghantar maklum balas rasmi melalui portal konsultasi dalam talian yang selamat atau terus ke emel ced- [email protected].
Tempoh konsultasi awam akan dibuka dari 26 Ogos 2025 hingga 14 September 2025. MyCC amat menghargai setiap sumbangan yang membina dalam usaha bersama untuk memperkukuh dan membentuk kerangka peraturan masa depan bagi ekosistem ekonomi digital Malaysia.