MyCC CADANG KENAKAN PENALTI KEWANGAN TERHADAP 81 PERUSAHAAN AKIBAT KARTEL PENETAPAN HARGA

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap 81 perusahaan kerana terlibat dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula pada 2023. Perlakuan kartel mereka boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Melalui penyiasatan pada peringkat Keputusan Cadangan ini, MyCC mendapati bahawa kesemua perusahaan ini yang merupakan ahli persatuan yang berdaftar di Malaysia, telah bersetuju untuk menetapkan harga lantai bagi kedua-dua perkhidmatan pakej umrah ekonomi dan premium dalam beberapa mesyuarat mereka pada awal 2023. MyCC juga mendapati bahawa persatuan terbabit membuat pengumuman kepada pihak media untuk memaklumkan kepada orang awam tentang harga lantai yang telah dipersetujui oleh mereka. Kesemua nama 81 perusahaan yang terlibat adalah seperti di Lampiran I.

Penting untuk ditekankan bahawa Keputusan Cadangan yang dikeluarkan oleh MyCC adalah dapatan awal. Maka, tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan di atas telah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.

Seperti yang diperuntukkan dalam Akta, kesemua perusahaan yang dinamakan dalam Keputusan Cadangan ini telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan oleh MyCC. Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan. Selepas itu, perusahaan-perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan.

Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia