MyCC CADANG KENAKAN TIGA KONTRAKTOR PENALTI KEWANGAN AKIBAT KARTEL TIPUAN BIDA

KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap tiga perusahaan atas pelanggaran seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida yang melibatkan enam tender kerja-kerja penyenggaraan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPJ). Jumlah keseluruhan tender ini dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta yang melibatkan dua tender pada tahun 2018, tiga tender pada tahun 2019 dan satu tender pada tahun 2021.

Tiga perusahaan yang terlibat adalah Abadi Malaysia Sdn Bhd, Kota Lanskap Sdn Bhd dan Usia Maintenance Sdn Bhd. Penyiasatan MyCC, pada peringkat Keputusan Cadangan ini, mendapati bahawa kesemua kontraktor ini telah melakukan aktiviti kartel tipuan bida melalui perjanjian dan amalan bersepadu untuk menetapkan harga bidaan mereka, berkongsi maklumat bidaan serta menyelaraskan penyediaan dan penyerahan bidaan mereka.

Penting untuk ditekankan bahawa Keputusan Cadangan yang diisukan oleh MyCC adalah dapatan awal. Maka, tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan di atas telah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.

Seperti yang diperuntukkan dalam Akta 712, kontraktor-kontraktor yang dinamakan dalam Keputusan Cadangan ini telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan oleh MyCC. Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan. Selepas itu, perusahaan-perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperolehi semasa proses penyiasatan.

 

Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus
Pengerusi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia