KUALA LUMPUR, 9 JULAI 2025 - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) semalam telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan kefahaman dan pematuhan terhadap Akta Persaingan 2010, di samping memperkasakan amalan tadbir urus korporat dalam sektor korporat.
Majlis Menandatangani MoU yang berlangsung di Bangunan MAICSA, Kuala Lumpur ini telah ditandatangani oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun, Pengerusi MyCC dan YBhg. Dato’ Akbar bin Moidunny, Presiden MAICSA. Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) bagi kedua-dua organisasi iaitu YBhg. Datuk Haji Iskandar bin Ismail (MyCC) dan Encik Justin J Anthony (MAICSA) turut hadir sebagai saksi majlis tersebut.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama MyCC dan MAICSA dalam mempromosikan kefahaman dan pelaksanaan prinsip persaingan serta amalan tadbir urus yang beretika dan berkesan dalam kalangan para profesional, setiausaha syarikat dan pemain industri secara menyeluruh.
“Kerjasama strategik antara MyCC dan MAICSA ini adalah langkah penting ke arah memperkukuh budaya pematuhan dan tadbir urus korporat yang berintegriti. Melalui sinergi ini, kita menyemai prinsip persaingan sihat dalam setiap aspek pengurusan korporat demi membina ekosistem perniagaan yang mampan dan berdaya saing di Malaysia.” kata Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun, Pengerusi, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
“Sebagai badan profesional bagi para pengamal tadbir urus, MAICSA percaya bahawa tadbir urus korporat yang kukuh harus seiring dengan pematuhan terhadap undang-undang persaingan. Kerjasama strategik dengan MyCC ini adalah tepat pada masanya, yang sekali gus memperkukuh komitmen MAICSA dalam mempromosikan kecemerlangan tadbir urus, dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap pematuhan undang-undang persaingan sebagai asas kepada kebertanggungjawaban korporat yang beretika,” kata Dato’ Akbar bin Moidunny, Presiden, MAICSA.
Majlis turut disusuli dengan sesi Diskusi Panel bertajuk "Memperkukuh Tadbir Urus Korporat Menerusi Pematuhan Persaingan: Dialog MyCC dan MAICSA" yang dikendalikan oleh Encik Justin J Anthony, Ketua Pegawai Eksekutif MAICSA. Sesi ini menampilkan tiga panelis penting iaitu Datuk Haji Iskandar bin Ismail, Dato’ Akbar bin Moidunny dan Puan Mek Yam @ Mariam Hassan, Pengurus Besar, Setiausaha Korporat (Antarabangsa) PETRONAS.
Majlis ini sekali gus menggariskan keperluan kerjasama yang erat antara pengawal selia, institusi profesional dan komuniti korporat dalam menyemai nilai pematuhan dan integriti dalam landskap perniagaan Malaysia.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Bahagian Polisi dan Komunikasi
Telefon Bimbit: +6019 269 6037
Emel: [email protected]
Mengenai Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Ditubuhkan pada April 2011 melalui Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, Suruhanjaya Persaingan ialah satu badan bebas bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, yang dilaksanakan untuk melindungi proses persaingan yang seterusnya akan merangsang produktiviti, keusahawanan yang berterusan dan inovasi dalam kalangan perusahaan, lantas mewujudkan pilihan produk atau servis yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.
Akta 712 ini terpakai kepada semua aktiviti perdagangan yang dijalankan di dalam dan di luar Malaysia yang memberi kesan kepada persaingan dalam pasaran Malaysia. Ia menyediakan kerangka pengawalseliaan termasuk kuasa untuk menyiasat, menghakimi, dan mengenakan hukuman kepada pelaku-pelaku yang melanggar undang-undang persaingan.
MyCC telah menyambut ulangtahun yang ke-14 pada 1 April 2025 dan sehingga kini, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap lebih dari 200 syarikat berkaitan dengan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan yang telah dengan jumlah keseluruhan penalti kewangan yang telah dikenakan melebihi RM667 juta. Keutamaan semasa MyCC adalah termasuk meminda Akta untuk memperkenalkan rejim kawalan penggabungan, menumpukan usaha kepada kartel tipuan bida, kartel dalam sektor makanan dan pertanian, serta menangani cabaran yang dihadapi oleh perundangan dan dasar persaingan berikutan ekonomi digital. Untuk maklumat lanjut mengenai MyCC, sila layari laman sesawang www.mycc.gov.my.