MyCC LANCAR KAJIAN PASARAN EKOSISTEM EKONOMI DIGITAL DI BAWAH AKTA PERSAINGAN 2010

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini telah melancarkan Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712). Kajian ini dilaksanakan sejajar dengan kefungsian KPDN untuk mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang mampan dan progresif khususnya kepentingan pasaran yang adil dan sihat sekali gus melindungi pengguna.

Majlis pelancaran ini berlangsung di PARKROYAL Collection Kuala Lumpur dengan penyertaan kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada wakil kementerian dan agensi Kerajaan, pemain industri, pertubuhan pengguna dan institusi akademik.

Kajian ini penting bagi menilai struktur pasaran serta amalan perniagaan dalam sektor ekonomi digital yang berpotensi memberi kesan terhadap ekosistem persaingan, pilihan pengguna, harga barangan dan perkhidmatan serta percukaian di Malaysia.

Kajian selama 18 bulan yang dilaksanakan bermula pada Julai 2024 ini, memfokuskan kepada empat bidang utama iaitu:

  1. Sistem pengendalian mudah alih dan perkhidmatan pembayaran;
  2. Platform e-dagang runcit (Retail Marketplace);
  3. Perkhidmatan pengiklanan digital; dan
  4. Agensi pelancongan atas talian atau online travel agencies (OTA).

Kajian ini turut memberi fokus kepada isu privasi dan perlindungan data yang terkandung dalam keempat-empat bidang tersebut. Antara dapatan kajian ini menunjukkan bahawa terdapat amalan tertentu oleh platform digital yang berpotensi menjejaskan persaingan yang adil dan seterusnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat serta daya saing perniagaan tempatan, terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ini termasuk struktur komisen yang tinggi, terma kontrak yang bersifat menyekat, ketelusan terhad dalam mekanisme penetapan harga dan kawalan ke atas data pengguna,

Sehubungan itu, MyCC mencadangkan beberapa tindakan konkrit, antaranya penubuhan pasukan khas pasaran ekonomi digital di bawah pendekatan whole-of-government bagi membolehkan Kerajaan menangani jurang pengawalseliaan pasaran ekonomi digital dengan lebih berkesan.

Selain itu, kajian ini menzahirkan keperluan untuk menggerakkan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan 2010 terhadap agensi pelancongan atas talian melalui kerjasama rapat MyCC, Kementerian Pelacongan, Seni dan Budaya serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Selain itu, kajian ini mendapati penambahbaikan kaedah percukaian digital perlu dilaksanakan bagi memastikan platform digital menyumbang secara adil kepada pembangunan negara. Data kutipan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital atau Service Tax on Digital Services (SToDS) menunjukkan peningkatan kepada RM1.62 bilion pada tahun 2024 berbanding RM802 juta pada tahun 2021. Namun demikian, kajian ini menganggarkan wujud jurang potensi sumbangan cukai tahunan yang signifikan berikutan perbezaan kadar cukai antara platform digital dan perniagaan tempatan.

Secara keseluruhannya, MyCC telah mengemukakan 18 cadangan dasar komprehensif yang merangkumi pengukuhan rangka kerja kawal selia, peningkatan ketelusan dan akses data serta pelaksanaan inisiatif strategik bagi melindungi kepentingan pengguna dan PMKS dalam ekosistem digital.

Kesemua cadangan ini berupaya dijadikan asas kepada semua pemegang taruh dalam ekonomi digital khususnya pembuat dan pelaksana dasar untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan ekonomi digital Malaysia berkembang secara adil, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan negara.