KUALA LUMPUR, 16 OGOS – Di era gelombang transformasi ekonomi digital yang kian ketara, kehidupan seharian rakyat Malaysia semakin bergantung kepada teknologi serta infrastruktur digital. Menyedari perubahan progresif menerusi inovasi teknologi dan transformasi digital, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah memulakan inisiatif kajian semula pasaran untuk mengkaji ekosistem ekonomi digital dan menyelidik kesan ekonomi digital terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.
Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712), di bawah Seksyen 11, MyCC mempunyai kuasa sama ada atas inisiatifnya sendiri atau atas permintaan Menteri untuk mengkaji struktur sesuatu pasaran, kegiatan perusahaan dalam pasaran; tingkah laku anti persaingan pembekal dan pengguna terhadap perusahaan di dalam pasaran; atau kegiatan lain yang menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan dalam pasaran.
Setakat ini MyCC telah melaksanakan tujuh (7) Kajian Semula Pasaran yang diterbitkan antara 2012 dan 2022. Antara yang mendapat perhatian ialah Kajian Semula Pasaran terhadap lima makanan asas, yang berjaya merungkai isu-isu kritikal yang telah membuka mata rakyat Malaysia dan memberi impak positif kepada pengguna dan pasaran secara keseluruhan.
“Kini, MyCC mengalihkan perhatian dalam mengkaji ekosistem ekonomi digital. Dalam kajian semula pasaran yang baharu ini, MyCC bertekad untuk memahami bagaimana transformasi dunia digital mempengaruhi kualiti hidup rakyat Malaysia secara keseluruhan dan memastikan bahawa perubahan ini membawa manfaat yang lebih luas kepada masyarakat,” kata Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.
Menurut kajian terbaru yang diterbitkan pada tahun 2023 mengenai ‘Impak Ekonomi Digital terhadap Kos Sara Hidup Penduduk: Bukti dari 160 Bandar di China’ menyatakan ekonomi digital mempunyai potensi meringankan beban kewangan penduduk dengan mengurangkan kos sara hidup mereka dengan ketara. Walaupun transformasi digital ini mungkin merupakan sinar harapan kepada sesetengah individu, masih ramai rakyat Malaysia bergelut dengan cabaran ekonomi. Oleh itu, peningkatan kemajuan digital perlu dipertingkatkan untuk memberi impak positif kepada rakyat yang memerlukannya.
Kajian ini akan memfokuskan kepada sistem pengendalian dan pembayaran mudah alih untuk menyepadukan sistem API pembayaran untuk kelancaran pembelian dalam aplikasi. Landskap e-dagang, terutamanya platform pasaran B2C yang besar, juga akan diteliti. Kajian sama juga akan menyemak pengiklanan digital dalam talian, menilai pelbagai kaedah seperti pemasaran enjin carian, iklan media sosial, pengiklanan paparan dan promosi video. Kebimbangan terhadap kerahsiaan dan perlindungan data juga akan disentuh dengan tumpuan pada isu seperti kos penukaran, penyalahgunaan data dan kawalan data merentas sektor yang berbeza.
Untuk memastikan kejayaan kajian semula pasaran ini, MyCC telah mula menganjurkan satu siri sesi Perbincangan Fokus Berkumpulan (FGD) untuk mengumpul pandangan dan perspektif pemegang-pemegang taruh bagi memastikan kajian pasaran ini bersifat menyeluruh dan inklusif. Topik-topik dan ketetapan untuk sesi FGD adalah seperti berikut:
Topik |
Tarikh / Masa |
Lokasi |
Kumpulan |
---|---|---|---|
Semua topik |
15 Ogos 2024 |
Putrajaya |
Kementerian dan agensi Kerajaan |
Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTAs) |
20 Ogost 2024 |
Kuala Lumpur |
Pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk pemain industri, pakar, ahli akademik, pengguna dan pelajar |
E-dagang (Marketplace) |
21 Ogos 2024 |
Kuala Lumpur | |
Perkhidmatan pengiklanan digital atas talian |
27 Ogos 2024 |
Kuala Lumpur | |
Sistem pengendalian dan mudah alih pembayaran |
29 Ogos 2024 |
Kuala Lumpur |
Selain itu, isu-isu mengenai kerahsiaan dan perlindungan data juga akan dibincangkan dalam semua sesi FGD.
Mengambil kira akan kepentingan kajian ini, pihak-pihak yang berminat untuk turut serta dalam mana-mana FGD digalakkan untuk segera mendaftar. FGD bagi kajian semula pasaran ekonomi digital ini adalah percuma. Untuk maklumat lanjut atau mendaftar, sila layari laman web MyCC di www.mycc.gov.my atau hubungi urusetia di [email protected].